Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedai runcit, serbaneka di KL dilarang jual minuman keras mulai Okt 2021
Diterbitkan:  Nov 16, 2020 9:36 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baru mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa semalam.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Kedai menjual ubat tradisional Cina juga dikenakan larangan tersebut, tetapi pengecualian dibuat untuk produk minuman keras bagi "tujuan ubatan tradisional".

"Berkuat kuasa 1 Oktober 2021 tiada lagi lesen baru LMK (minuman keras yang memabukkan) di kedai runcit, serbaneka, ubat Cina.

"Untuk LMK sedia ada di kedai runcit, serbaneka, ubat Cina, pembaharuan dibenarkan sehingga 30 September 2021 sahaja," kata garis panduan itu.

Mereka masih dibenarkan menjual bir setelah larangan berkuat kuasa, tetapi hanya dari jam 7 pagi hingga 9 malam.

Pemilik premis mesti memastikan minuman beralkohol dipamer berasingan dari minuman lain, dan mengunci ruang rak pameran selepas jam 9 malam.

Pembeli mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun.

Pasar raya, hypermarket, hotel, bar, dan pub masih dibenarkan menjual minuman keras, tetapi mesti memastikan bahawa pelanggan berusia sekurang-kurangnya 21 tahun.

Dalam catatan di Facebook hari ini, DBKL menyatakan garis panduan baru itu berkuat kuasa semalam setelah berunding dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja, polis, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak berkepentingan, dan NGO.

Ia bertujuan untuk mengawal akses dan penggunaan produk minuman keras sambil memastikan kesihatan dan keselamatan warga kota.

Garis panduan ini juga menetapkan had waktu minuman beralkohol boleh dijual mengikut jenis premis, dengan pemohon atau pemegang lesen hanya untuk bukan Muslim.

Pemilik premis juga perlu menunjukkan lesen mereka bersama dengan kod QR di pintu masuk mereka - lesen biru di mana penggunaan alkohol dibenarkan di premis, dan lesen kuning untuk pembelian untuk bawa balik rumah sahaja.

Perniagaan yang menjual minuman beralkohol tidak dibenarkan menghadap balai polis, tempat ibadah, sekolah, dan hospital.

Bagi mereka yang membuat permohonan baru untuk LMK, mereka diminta untuk mengiklankan notis di akhbar tempatan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina, dan bahasa Tamil setiap hari selama tiga hari berturut-turut.

Di samping itu, mereka mesti menunjukkan notis berukuran A0 yang menyatakan niat mereka untuk mendapatkan LMK di hadapan premis mereka selama tujuh hari berturut-turut.

-

 

Lihat Komen
ADS