Seksyen 25 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, akan dipinda bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menukar alamat pemilih kepada alamat terbaru mereka.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata draf pindaan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara Oktober ini dan ia disasarkan dapat digunakan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menerusi pindaan itu, SPR dapat menyediakan daftar pemilih yang "bersih" dan tidak diragui mana-mana pihak, katanya kepada pemberita selepas melepaskan Pasukan Kembara Merdeka SPR 2006 di Putrajaya hari ini.

Abdul Rashid memberitahu, sebelum Julai 2002, terdapat kira-kira 9 juta pemilih, namun 3.5 juta daripadanya tidak berada di alamat seperti yang didaftarkan, yang bermakna mereka telah berpindah.

"Ia perlu disusun atur semula...sebelum ini kita tidak mempunyai kuasa, orang tak faham. Ini saya tak pernah jelaskan dulu. Sekarang sudah tiba masanya kita buat penjelasan, kita tidak ada kuasa..."

"Jika seseorang pemilih tidak menetap di alamat yang didaftarkan, daftar pemilih akan terus diragui dan SPR disoal macam-macam dan dituduh macam-macam," katanya.

Menurut laporan Bernama, Abdul Rashid berkata menerusi pindaan itu, SPR akan melakukan semakan alamat pemilih dalam daftar pemilih dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan jika didapati tidak sepadan, SPR akan menghubungi mereka dan menasihatkan supaya menukar alamat.

Katanya jika mereka enggan berbuat demikian, SPR mempunyai kuasa untuk menukar alamat mereka tanpa kebenaran pemilih berkenaan.

Beliau berkata keperluan untuk menukar alamat itu hanya membabitkan pemilih yang berpindah ke negeri lain dan jika berpindah tetapi masih berada di kawasan pengundian yang sama, mereka tidak perlu berbuat demikian.

Alamat rumah

Abdul Rashid berkata SPR juga telah memaklumkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewujudkan sistem alamat yang lengkap.

"Sekarang, alamat hanya ada pada hartanah yang dikenakan cukai, hartanah yang berada di luar kawasan bercukai, tak ada alamat. Keadaan itu menyebabkan posmen melonggokkan surat di satu tempat sahaja pada satu alamat. "Sebab itu kita dapati dalam daftar pemilih, banyak alamat rumah yang ramai orang atau ramai pemilih tinggal di situ. Ini pun kita dituduh macam-macam dan kita tidak boleh mengeluarkan mereka kerana jika kita berbuat demikian, kita telah mengeluarkan pengundi yang sah," katanya.

Di samping itu, katanya SPR telah mengarahkan semua pengarah-pengarah negeri membuat "pembersihan" pada daftar pemilih masing-masing dengan membuat pengesahan jika terdapat pemilih yang telah meninggal dunia.

"Di kampung-kampung, kita guna ketua kampung untuk mengesahkan orang yang telah mati, jika ada kita akan keluarkan. Dulu, kita banyak bergantung kepada JPN dan saya tak salahkan JPN, jika orang tak lapor, takdelah," katanya.

Abdul Rashid berkata baru-baru ini, SPR dapat mengesahkan hampir 13,000 pemilih di kawasan rumah panjang Sarawak, yang telah meninggal dunia tetapi masih tersenarai dalam daftar pemilih.

Sementara itu, katanya terdapat kira-kira 4 juta orang yang layak mendaftar tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

"Berdasarkan rekod JPN, terdapat kira-kira 15 juta orang yang telah mencapai had umur 21 tahun ke atas tetapi dalam daftar pemilih, hanya 10.3 juta orang dan daripada jumlah itu, 3.5 juta pemilih tidak menetap di alamat yang diberikan," katanya.