PARLIMEN l Kerajaan masih berpendirian bahawa tiada keperluan untuk mendedahkan laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) kepada umum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek perundangan.

“Setakat hari ini kerajaan masih mengekalkan pendirian bahawa tiada keperluan untuk laporan ini didedahkan kepada umum.

“Keputusan ini mengambil kira pelbagai aspek seperti perundangan memandangkan isu kandungan dan perbincangan yang direkodkan bersifat teknikal serta melibatkan perkara yang sensitif yang berstatus rahsia rasmi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang ingin tahu sekiranya kerajaan berhasrat membentangkan laporan akhir bagi bacaan umum berhubung JKK untuk menyemak pelaksanaan MA63.

Terdahulu, Hanifah Hajar turut berkata kerajaan hari ini hanya meneruskan dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan terdahulu dan sama sekali tidak berniat untuk melengahkan pelaksanaan keputusan yang telah dicapai oleh JKK terdahulu.

- Bernama