Malaysiakini
BERITA

660 kes baru, 4 kematian, 103 di ICU

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Nov 2020, 10:03 pagi

Setelah hampir seminggu mencatatkan empat digit, bilangan kes baru Covid-19 kembali kepada tiga digit dengan 660 kes hari ini.

Sabah kembali mengatasi negeri-negeri lain dengan 387 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Kuala Lumpur, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 50,390 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 12,814 kes.

“Sabah mencatatkan 58.6 peratus daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 173 kes positif pada hari ini iaitu penurunan sebanyak 345 kes (66.6 peratus) daripada sejumlah 518 kes positif yang dilaporkan semalam.

“Daripada 173 kes positif yang dilaporkan di ketiga-tiga negeri Lembah Klang ini, sebanyak 77 kes atau 44.5 peratus adalah daripada kes daripada kluster-kluster yang telah dikenalpasti,” katanya.

Jumlah kes baru mengikut negeri adalah seperti berikut: Sabah (387 kes), Selangor (139), Negeri Sembilan (31), Kuala Lumpur (29), Labuan (13) Kedah (11), Melaka (4), Sarawak (3), Johor (3), Kelantan (3) dan Putrajaya (1).

Daripada 660 kes baru pada hari ini, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Kes berkenaan melibatkan dua warga negara dan dua bukan warga negara yang tiba dari Turki, India dan Arab Saudi.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa lapan kluster baru dikesan hari ini manakala tiga lagi disytiharkan berakhir.

Dia berkata terdapat sebanyak 630 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 37,254 atau 73.9 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 103 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 41 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah dua daripada mangsa adalah dari Sabah, manakala dua lagi dari Perak.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 322 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.