Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPB di beberapa negeri mungkin ditamatkan
Diterbitkan:  Nov 18, 2020 5:57 PM
Dikemaskini: 12:54 PM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri yang mencatatkan kes Covid-19 rendah mungkin akan ditamatkan.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyampaikan penilaian risiko kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Jumaat ini.

PKPB telah dikenakan di hampir semua negeri kecuali Pahang, Kelantan, Perlis, dan sebahagian besar kawasan di Sarawak. Ia dijangka tamat 6 Dis.

"KKM diarah untuk buat penilaiain risiko, walaupun kita umum PKPB di seluruh negara selama satu bulan kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis.

"Sekarang KKM sedang nilai dari jumlah kes, sedang dilihat, dan KKM akan bentang keputusan Jumaat nanti.

"Kalau tiada peningkatan kes, status dianggap hijau, maka kemungkinan beberapa negeri akan ditamat PKPB," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji kaedah terbaik untuk menangani penularan Covid-19 di kalangan pekerja asing di negara ini.

"Pagi ini, seorang wakil dari Kementerian Sumber Manusia menyampaikan kepada jawatankuasa teknikal mengenai hal-hal yang berkaitan dengan pekerja asing.

"Pertama, mengenai perlunya menyaring pekerja asing di negara ini, tetapi cabarannya ialah terdapat 1.7 juta pekerja asing di sini.

"Berapa lama ujian itu akan berlangsung, dan berapa banyak makmal yang kita ada? Dan adakah ujian PCR atau RTK-Antigen?

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersetuju untuk membayar sebahagian dari kos ujian swab, tetapi pekerja yang tidak dilindungi oleh Perkeso harus membayar sepenuhnya. Jadi ini juga menjadi masalah.

"Kita mencadangkan (kepada kementerian) untuk memulakan dengan negeri-negeri yang mempunyai banyak kawasan industri seperti Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang," katanya.

Ismail berkata, masalah lain yang perlu dikaji oleh Kementerian Sumber Manusia termasuk tempat tinggal yang padat dan adakah pekerja perlu memakai gelang khas ketika keluar di tempat awam.

Lihat Komen
ADS