Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Demi rakyat, tak rugi digelar pengkhianat
Diterbitkan:  Nov 19, 2020 9:33 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata dirinya sanggup dilemparkan gelaran yang tidak baik demi membela nasib rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Malah, katanya sejak dahulu lagi dia sudah menerima bermacam panggilan oleh "atok dan gengnya."

"Bertahun-tahun lamanya saya telah dipanggil pembunuh, perompak, penyamun, penyangak, penzina atau penjual negara...Saya tetap sabar.

"Jadi, tak rugi apapun jika saya turut dipanggil "pengkhianat" jika "pengkhianatan" saya dan kawan-kawan ini berjaya memenuhi kehendak rakyat pada masa mereka paling terdesak dalam krisis dunia paling teruk sejak 100 tahun dahulu?

"Asalkan jangan panggil saya Kit Siang sudah," katanya pada hantaran di Facebook hari ini.

Najib dipercayai merujuk Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional, Shahidan Kassim yang berkata bekas perdana menteri akan mengkhianati rakyat sekiranya beliau menolak Belanjawan 2021.

Shahidan ketika membahaskan RUU Perbekalan di parlimen hari ini menyebut ada yang mengatakan satu atau dua ahli parlimen PN tidak akan menyokong Belanjawan 2021, dengan "syak wasangka" terhadap pemimpin veteran dalam gabungan itu.

"Saya nak beri tahu, sesiapa sahaja yang menolak bajet ini, termasuk kawan saya dari Pekan (Najib), tolak bajet, khianat rakyat, sebab rakyat menunggu," katanya.

Shahidan juga menegaskan semua ahli parlimen Perikatan Nasional dan BN akan mengundi secara 'en bloc' untuk Belanjawan 2021.

Sebelum ini, Najib yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN ketika membahaskan belanjawan berkata BN akan menyokong bajet jika kerajaan bersetuju dengan 'syarat' untuk menyambung moratorium pinjaman dan membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebaliknya, Kerajaan PN sebelum ini tidak menerima cadangan Umno dan pembangkang PH untuk melanjutkan skim moratorium pinjaman.

Sebaliknya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 membenarkan golongan kategori B40 untuk memilih dari dua pilihan sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membayar pinjaman.

Zafrul berkata golongan B40 boleh memilih moratorium tiga bulan atau mengurangkan pembayaran ansuran bulanan mereka sebanyak separuh selama enam bulan.

Kenyataan Najib hari ini terus menimbulkan tanda tanya mengenai jumlah undi ahli parlimen yang bakal menyokong Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 26 November ini.

Terdahulu hari ini, Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata adalah "tidak demokratik" untuk membataskan ahli parlimen mengundi sekadar mengikut arahan parti.

Menurut MP Gua Musang, walaupun beliau ahli parlimen Umno, namun parti itu tidak berhak menentukan corak pengundian kerana dirinya dipilih pengundi di kawasannya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa kemudian menolak kenyataan itu sebagai "pandangan peribadi" Tengku Razaligh, berkata setiap ahli parlimen perlu patuh pada arahan ketua whip dalam membuat undian bagi menyokong rang undang-undang dibawa kerajaan, termasuk Belanjawan 2021.

“Kalau ada ahli parti yang hendak bertindak sendiri, maka bila sampai pilihan raya, tidak perlu lagi parti, buat keputusan sendiri jugalah.

“Kalau tidak mahu ikut parti, tidak mahu patuh pada arahan parti, maka kena bersedia juga terima tindakan tertentu (yang dibuat oleh) parti,” kata Annuar lagi.

Lihat Komen
ADS