Pemuda bahagian batal jemputan pada Mukhriz
Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir menerima nasib yang sama seperti bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beberapa Pemuda Umno bahagian telah membatalkan jemputan kepadanya untuk merasmikan mesyuarat perwakilan masing-masing.
Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir menerima nasib yang sama seperti bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beberapa Pemuda Umno bahagian telah membatalkan jemputan kepadanya untuk merasmikan mesyuarat perwakilan masing-masing.
Menurut sumber, setakat ini tiga Pemuda bahagian disahkan telah membatalkan jemputan mereka walaupun Mukhriz telah memberi komitmen akan menghadirinya.
"Pemuda bahagian berkenaan tidak memberikan sebab-sebab pembatalan tersebut. Apabila ditanya, Ketua Pemuda bahagian berkenaan hanya memberitahu ia terpaksa dibatalkan oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan," kata sumber itu lagi.
Beliau bagaimanapun, enggan memberitahu nama bahagian berkenaan bagi mengelakkan timbul salahfaham atau tindakan yang tidak diingini terhadap pemipin Pemuda bahagian tersebut.
Bagaimanapun katanya sekurang-kurangnya tujuh lagi Pemuda bahagian tetap menjemput Mukhriz merasmikan mesyuarat mereka. Sabtu lalu, Mukhriz telah merasmikan mesyuarat Pemuda bahagian Masjid Tanah, Melaka.
Mesyuarat Pemuda Masjid Tanah telah meluluskan usul meminta Majlis Tertinggi Umno mengambil daya usaha mempertemukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Dr Mahathir bagi menyelesaikan perbalahan antara kedua-dua pemimpin itu secepat mungkin.
Turut jadi mangsa
Menurut sumber itu lagi, tindakan membatalkan jemputan itu tidak mengejutkan, namun ia amat mengecewakan kerana ini menunjukkan ada pihak tertentu cuba mengheret Mukhriz dalam krisis Dr Mahathir Mohamad dengan Abdullah.
Kata sumber itu lagi, kalangan Pemuda bahagian berkenaan memberitahunya, orang tertentu dari Kuala Lumpur telah meminta badan perhubungan Umno negeri menasihatkan bahagian-bahagian Umno membatalkan semua jemputan kepada Mukhriz atau bapanya.
"Nasib yang menimpa Mukhriz sama seperti bapanya. Kita sedia maklum banyak majlis-majlis yang melibatkan Dr Mahathir dibatalkan akhir-akhir ini.
"Tindakan pihak tertentu memandang serong pada Mukhriz adalah suatu yang menyedihkan dan tidak wajar kerana sebagai Exco Pemuda, beliau layak dan berhak untuk merasmikan mesyuarat Pemuda bahagian," tambah sumber tersebut.
Sumber berkenaan juga menegaskan 'nasihat' yang disalurkan dari Kuala Lumpur itu tidak selari dengan kata-kata presiden dan pemimpin kanan Umno yang berkali-kali mendakwa Dr Mahathir tidak dihalang bertemu ahli-ahli Umno.
"Nampaknya bukan Dr Mahathir sahaja dihalang bertemu ahli-ahli Umno, malah anak beliau turut menjadi mangsa," ujar sumber itu lagi.

