Malaysiakini
BERITA

'Kemudahan kesihatan swasta kurang dimanfaat dalam tangani Covid-19'

Diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan melibatkan pihak penjagaan kesihatan swasta dalam usaha melawan Covid-19.

MMA menyifatkan keupayaan pihak penjagaan kesihatan swasta masih kurang dimanfaatkan.

"Kemudahan kesihatan kerajaan kita seharusnya tidak dibiarkan melawan 'pertempuran' ini sendiri. Pihak kesihatan swasta, komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan keseluruhan negara kita dapat menjadi kekuatan tambahan dalam menguruskan Covid-19 tetapi masih kurang dimanfaatkan.

"Sudah waktunya kita meredakan tekanan pada petugas kesihatan awam kita dan melihat kekuatan gabungan kesihatan awam dan swasta untuk meningkatkan usaha dalam pengurusan Covid-19 serta keperluan penjagaan kesihatan lain," kata presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy dalam satu kenyataan.

Dia mengatakan bahawa banyak klinik dan hospital di seluruh negara melaporkan kehadiran pesakit berkurang sehingga 70 hingga 80 peratus dengan pengurangan pendapatan yang signifikan dan kelangsungan perkhidmatan mereka terancam teruk.

"Ramai doktor senior yang mempunyai banyak pengalaman juga mempertimbangkan untuk gulung tikar atau bersara dan dianggarkan sekitar 200 klinik di seluruh negara akan ditutup menjelang akhir tahun ini.

"MMA percaya ini rakyat akan mendapat manfaat dari kerjasama antara kesihatan awam dan swasta. Pesakit juga akan dilayani dengan lebih baik apabila kedua-dua sektor memaksimumkan perkhidmatan kesihatan berbanding bekerja secara berasingan," tambahnya.

Menurut Subramaniam, terdapat 7,000 doktor kesihatan terlatih KKM dan sekitar 3,000 lagi pakar swasta yang berkhidmat di lebih daripada 200 hospital swasta di seluruh negara.

Katanya, angka tahun 2018 menunjukkan sektor swasta terdiri daripada 14,649 doktor, 5,174 ahli farmasi dan 34,874 jururawat.

"Perbelanjaan penjagaan kesihatan swasta adalah sekitar 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan negara dengan berjuta-juta rakyat Malaysia dan bukan rakyat Malaysia menghadiri kemudahan swasta setiap hari.

"Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020, tindak balas Penjagaan Kesihatan Malaysia banyak dipacu oleh kemudahan kesihatan kerajaan.

"Ada ketika pandemik pada tahap kemuncak sehingga kemudahan kesihatan kerajaan digunakan pada tahap maksimum di hospital atau daerah tertentu dan bantuan atau sumbangan diberikan oleh orang awam, NGO dan warga negara yang berkaitan," katanya.

Subramaniam berkata bahawa antara alasan sektor penjagaan kesihatan swasta mempunyai jumlah pesakit yang berkurangan adalah susulan PKP yang membuat pesakit menunda pemeriksaan kesihatan mereka sementara yang lain berusaha untuk menghindari klinik atau hospital kerana takut dijangkiti Covid-19.

"Keupayaan kebanyakan pesakit juga menurun dengan ketara kerana kesan ekonomi dari pandemik," tambahnya.

Subramaniam mengatakan bahawa cawangan MMA Sabah baru-baru ini telah melakukan tinjauan mengenai penjagaan kesihatan sektor swasta di Sabah dan banyak perkhidmatan yang dijangka akan tutup.

"Menurut tinjauan itu, 70 peratus daripada doktor swasta dan pakar mempunyai beban pesakit yang berkurangan lebih dari 50 peratus atau lebih, dan sekitar 32 persen melaporkan perlunya menutup klinik sementara waktu atas pelbagai sebabab, termasuk terpaksa menjalani kuarantin selepas terdedah dengan Covid-19.

"Sekiranya keadaan ketika ini berlanjutan di Sabah, 17 peratus perkhidmatan dianggarkan tidak akan mampu bertahan dalam tiga bulan akan datang dan 33 peratus lagi akan terjejas dalam enam bulan ke depan.

Hanya 25 peratus dalam tinjauan itu yang dianggarkan dapat bertahan hingga 12 bulan atau lebih, katanya, sambil menambah bahawa seramai 209 doktor swasta mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut.

"Secara keseluruhan, penguncupan dan kehilangan doktor dan klinik sektor swasta di negara ini pasti akan menyebabkan lebih banyak kesesakan di kemudahan kerajaan yang menambah tekanan dan pendanaannya, apatah lagi kemudahan dan sumber manusia," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan