Malaysiakini
BERITA

Sultan Johor kurnia darjah DMIJ kepada empat individu

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Nov 2020, 7:12 pagi

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu termasuk Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

Tiga lagi ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Salehuddin Hassan, Mejar Cina David Wong Khoong Soon dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) Avinderjit Singh Harjit Singh.

Wong, berketurunan Wong Ah Fook, yang dilantik sebagai Mejar Cina atas perkenan Sultan Ibrahim pada September lepas, menjalankan tugas dan bekerjasama dengan YSIJ dalam menyelaras, mengatur dan melaksana pengagihan kurniaan barangan keperluan makanan kepada penduduk negeri itu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Johor, pengurniaan darjah yang membawa gelaran 'Datuk' berkenaan berlangsung di Balai Mengadap, Istana Pasir Pelangi, pagi tadi bersempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-62.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan