Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Bagaimana sokong bajet, kalau tidak beri ruang berbahas?
Diterbitkan:  Nov 23, 2020 1:57 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Seorang ahli parlimen PKR mengecam keputusan Dewan Rakyat menghadkan masa empat jam kepada ahli parlimen membahaskan Belanjawan 2021 sebelum di undi pada Khamis ini.

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dalam satu kenyataaan berkata bahawa menghadkan masa perbahasan tidak relevan dengan fungsi parlimen yang sebenar.

"Persidangan parlimen kali ini lebih mengutamakan mengehadkan masa ‘perbahasan dan penyertaan ahli parlimen dalam membawa isu-isu berkenaan Belanjawan 2021.

"Bagaimana untuk luluskan bajet kalau tak bagi ruang untuk debat atau pandangan? " soalnya.

Katanya, empat jam diberi kepada 80 Ahli Parlimen untuk membincangkan isu 32 juta rakyat Malaysia dengan alasan penularan Covid-19 tidak masuk akal.

"Mengikut penjelasan mantan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad di parlimen hari ini bahawa setiap kali seorang yang dijangkiti virus Covid-19 batuk, maka 3,000 titisan respiratory droplet dan jika mereka bersin 30,000 titisan droplet bersama jutaan partikel virus akan disemburkan. Ini menurut kajian Harvard Public Health Department.

"Dewan Rakyat sentiasa disanitasi sebelum persidangan, setiap ahli parlimen telah melalui ujian swab setiap dua minggu sekali. Apa perbezaan di antara bersidang untuk 4 jam atau 8 jam?" soalnya.

"Penjelasan menteri membaca teks untuk 20 minit tanpa perbahasan bukan prosedur parlimen yang normal. Setiap usul, jawapan dan penjelasan dari ahli parlimen harus diperbahaskan. Ini fungsi Parlimen yang sebenar," katanya lagi.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Azizan Azhar Harun memaklumkan setiap menteri hanya mempunyai masa 20 minit untuk menjawab soalan yang diajukan kepada kementerian masing-masing.

Lihat Komen
ADS