Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berikrar akan menyokong dan mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari depan.

Beliau berkata, jika selama ini pihaknya sentiasa mengamalkan pendekatan menyokong dari belakang namun mulai sekarang sokongan akan diberikan di bahagian hadapan.

"Kalau sokong dari belakang mungkin kena apa-apa Pak Lah yang kena dulu...jadi sekarang biar kita di hadapan supaya kalau ada apa-apa, kita penyokong yang kena dulu," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin parti komponen BN di Kuantan.

Menurut laporan Bernama, Abdullah yang dalam rangka lawatan dua harinya ke Pahang turut berucap di majlis itu.

Menteri Besar Pahang yang terkenal dengan kelantangan bersuaranya itu juga meminta seluruh rakyat di negara ini agar memberi ruang dan kesempatan kepada Perdana Menteri untuk bekerja dengan lebih tenang dan tenteram kerana ia akan membantunya mencari idea dan jalan terbaik untuk terus memacu kejayaan negara untuk masa depan.

Sementara itu Abdullah di dalam ucapannya pula meminta semua parti komponen Barisan Nasional (BN) terus bersatu padu dalam menangani masalah dadah di kalangan belia.

Perdana Menteri mengajak semua anggota parti komponen supaya berusaha bersungguh-sungguh agar gejala dadah dapat dibasmi sehingga ke akar umbi memandangkan ia boleh mengancam kestabilan masyarakat.

"Dadah merupakan penyakit anak muda dan merupakan satu bahaya besar kepada negara. Jika ia tidak ditangani, kelak terus menjadi ancaman kepada kestabilan masyarakat kita," katanya.

Abdullah berkata walaupun kini terdapat pelbagai persatuan yang dipertanggungjawabkan menangani permasalahan dadah, namun ia masih gagal berfungsi untuk membebaskan anak-anak muda daripada cengkaman musuh negara nombor satu itu.

Justeru, Abdullah mengajak semua parti komponen BN terus memainkan peranan mereka untuk memberi perhatian serius kepada masalah dadah ini.

"Kita ahli politik...tetapi tidak terhad pada infrastruktur yang lebih hebat tetapi pembangunan sosial mesti diberi perhatian.

"Jangan jadi negara maju tetapi banyak masalah sosial. Tanggungjawab kita adalah untuk sedarkan rakyat," katanya.

Abdullah berkata beliau percaya dengan kekuatan parti-parti komponen BN, masalah dadah boleh dibasmi.

"Dengan tenaga yang kita ada, kita boleh bawa perubahan...Semua bergantung pada kita. Saya percaya BN adalah sebuah parti yang tahan lama dan diterima rakyat kerana ia adalah pilihan rakyat," katanya.