mk-logo
Berita
Saari Sungib tawar diri cabar Azmin dalam PRU depan

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib menawarkan diri untuk mencabar menteri kanan Azmin Ali di parlimen Gombak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Saya ingin menawarkan diri berdepan dengan Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak dalam pilihan raya akan datang sekiranya saya sihat serta dianggap oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai seorang calon boleh menang.

“Memandangkan kerusi Gombak milik PKR, maka jika saya terpilih saya bersedia untuk menjadi ahli PKR,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Azmin, orang kuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, adalah penyandang kerusi Parlimen Gombak selama tiga penggal.

Pada PRU 2018, Azmin yang ketika itu pemimpin kanan PKR, menang di Gombak dengan dalam pertarungan tiga penjuru menentang Umno-BN dan PAS.

Dia bagaimanapun berubah angin dengan mendukung pembentukan kerajaan baru melalui Langkah Sheraton pada Februari lalu yang menyaksikan kejatuhan PH.

Sebelum ini, Saari dispekulasikan akan mengikuti jejak Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, yang keluar Amanah untuk menyertai PKR.

Saari menafikannya sebelum ini.

Sementara itu, Saari berkata pelbagai kumpulan di kawasan tersebut telah menyatakan sokongan kepadanya untuk melawan Azmin pada PRU15 kelak.

“Beberapa kelompok masyarakat India, Serani, Cina, Punjabi, India, kelompok orang asli seperti Temuan bertemu saya memberi sokongan kepada saya untuk melawan Azmin Ali.

“Di Gombak mereka dapat dikumpulkan antara 5,000 hingga 7,000 orang.

“Di samping itu menurut seorang pimpinan pemuda PKR, persatuan-persatuan Minang, Bawean dan etnik Sumatera yang bilangannya hampir 20,000 orang di Gombak turut memberi sokongan kepada siapa sahaja yang akan menentang Azmin Ali.

“Maka menyertai PKR bagi saya adalah untuk kesepaduan kerja, meluaskan demokrasi serta mengukuhkan solidariti PH,” katanya.

Gombak adalah kerusi majoriti Melayu (77 peratus), manakala pengundi Cina dan India masing-masing sekitar 11 peratus.

Baca: Kenyataan penuh Saari

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini