Dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob menyeru kepada seluruh masyarakat supaya tidak bersalam antara satu sama lain.

Katanya, amalan itu perlu dihentikan buat sementara waktu bagi mengelak penularan wabak itu.

"Kebimbangan kita adalah rakyat tidak bersama dengan kita, agensi-agensi dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Contohnya amalan bersalam, ada lagi yang masih bersalam, ini sesuatu yang sukar untuk kita cegah. Budaya ini masih berlaku.

"Jadi buat masa ini kita harap tak perlu bersalam, lebih baik hati ke hati," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri melihat langkah pencegahan perlu dipertingkatkan dan tindakan lebih tegas perlu diambil.

"Contohnya menambahbaik dalam penyampaian maklumat kerana kadang-kadang masih ada yang tidak tahu mengenai perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

"Supaya rakyat dapat tahu tentang bahaya Covid-19, sebab kita tak nampak. Supaya rakyat nampak, kalau takut sebagaimana takut kepada harimau," katanya.

Sebagai rekod, Kelantan mencatatkan 97 kes aktif dengan enam kes baru, semalam.