Masuk Kelantan tanpa surat, 588 kenderaan diarah patah balik
Gara-gara cuba memasuki negeri Kelantan tanpa sebarang kebenaran, sebanyak 558 kenderaan diarah berpatah balik sejak 9 November lalu.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, selain tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri, ada juga yang memberi alasan yang tidak logik.
"Pendekatan itu menunjukkan polis Kelantan bersungguh-sungguh untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan meminta mereka yang mahu melakukan rentas negeri mendapatkan surat kebenaran terlebih dahulu.
"Kita meminta masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Dalam perkembangan sama Shafien berkata, pihaknya turut menambah kepada 20 sekatan jalan raya (SJR) sehingga kini susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kelantan.
"Kebanyakan satu atau dua sekatan di setiap daerah namun di Machang kita mempunyai tiga SJR memandangkan kes di daerah itu tinggi.
"Alhamdulillah memasuki hari kelima PKPB di Kelantan, tahap kesedaran masyarakat semakin tinggi dengan jumlah kenderaan juga berkurangan kepada 50 peratus.
"Jumlah kompauan yang dikeluarkan setakat ini hanya 27 kompaun sahaja. Ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap PKPB adalah tinggi," katanya.
Selain itu tambahnya, SJR juga mula dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula semalam.
"Setiap masa kita mempunyai seramai 250 anggota yang bertugas di kesemua lokasi sekatan termasuk daripada ATM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia," kata Shafien.

