Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin beri jaminan peruntukan RM85.5j Jasa dikurangkan
Diterbitkan:  Nov 25, 2020 5:09 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

PARLIMEN | Kementerian Komunikasi dan Mutltimedia (KKMM) memberi jaminan peruntukan RM85.5 juta yang diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan dikurangkan.

Menurut menterinya Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata nilai pengurangan itu masih belum ditentukan kerana ia sedang dibincangkan.

"Saya boleh bagi jaminan bahawa jumlahnya akan dikurangkan dan berapa banyak itu sedang dibincangkan," katanya.

Menurut ahli parlimen Indera Mahkota iotu lagi jumlah tersebut ditetapkan begitu kerana perkiraan dibuat berdasarkan jumlah kawasan parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) yang terhad berbanding apa yang ada.

Menjelaskan hal itu semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini Saifuddin berkata peruntukan sebanyak RM85.8 juta kepada Jasa bukanlah sesuatu yang luar biasa jika dibandingkan dengan peruntukan diterima agensi berkenaan yang sebelum ini.

Dia berkata demikian selepas bekas menteri KKMM Gobind Singh Deo mencelah dan membangkitkan bahawa peruntukan RM85.5 juta kepada Jasa - yang kini dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) - sebagai terlalu tinggi.

Jasa merupakan agensi kerajaan yang bersifat rahsia, berakar umbi sejak 1960-an dan asalnya dikenali sebagai Cawangan Hal Ehwal Khas (Chek) di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan.

Berdasarkan senarai jawatan kerajaan 2019, Jasa mempunyai 229 kakitangan sepenuh masa di seluruh negara sebelum dibubarkan pada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Jan 2020.

Jasa dipercayai menggaji kakitangan kontrak dengan elaun bulanan RM900 bagi memantau 222 kawasan parlimen dan 576 kawasan DUN, menjadikan bilangan kakitangan bergaji seramai lebih 1,000 orang.

Pada 2017, satu perhimpunan melibatkan 942 kakitangan Jasa diadakan di Alor Gajah, Melaka, dengan tema "Ke Arah Memenangi Majoriti 2/3 Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14".

Menurut Saifuddin sebelum ini peruntukan Jasa diletakkan di bawah dua kod aktiviti yang berbeza iaitu Dasar Sedia Ada Jasa dan Emolumen Kakitangan Kontrak KKMM.

Jika dijumlahkan peruntukan di bawah dua kod berkenaan pada 2015, 2016, 2017 dan 2018, katanya, ia masing-masing berjumlah RM78.5 juta, RM81 juta, RM85.3 juta dan RM74 juta.

"Jadi dalam hubungan ini, anggaran peruntukan untuk Jasa tahun 2021 sebanyak RM85.5 juta itu bukanlah sesuatu yang luar biasa jika dibandingkan dengan peruntukan yang sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Saifuddin menjawab soalan berkaitan Jasa yang dibangkitkan 33 ahli parlimen termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Umno sebelum ini berasa selesa dengan Jasa kerana pada dasarnya ia bertindak sebagai sayap propaganda parti itu sehinggalah BN ditumbangkan pada 2018.

Lihat Komen
ADS