Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iran timbang tindak balas pembunuhan saintis nuklear
Diterbitkan:  Nov 30, 2020 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

GLOBAL l Iran akan memberikan tindak balas terhadap pembunuhan saintis nuklearnya, kata seorang penasihat utama pemimpin tertinggi Iran, sementara sebuah akhbar berhaluan keras menyarankan agar Teheran membalas dendam dengan menyerang kota Haifa di Israel.

"Tidak diragukan, Iran akan memberikan jawapan yang berhati-hati tetapi tegas ke atas penjenayah yang mengambil (nyawa) Syuhada Mohsen Fakhrizadeh dari negara Iran," kata Kamal Kharrazi, yang juga adalah ketua Majlis Strategik Hubungan Luar Iran, dalam satu kenyataan.

Fakhrizadeh, yang lama disyaki oleh kerajaan di Barat dan Israel sebagai mendalangi program senjata nuklear rahsia, diserang di jalan raya berhampiran Teheran pada Jumaat dan ditembak semasa di dalam keretanya.

Ulama dan tentera Iran mendakwa seteru lama Republik Islam itu, Israel, bertanggung jawab ke atas pembunuhan itu. Iran pada masa lalu sering menuduh Israel membunuh beberapa saintis nuklear negaranya sejak 2010.

Polemik tercetus di Iran mngenai bagaimana untuk bertindak balas terhadap pembunuhan saintis kanan nuklear negara itu, ketika jenazahnya diberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Sementara itu, parlimen Iran menggesa penggantungan pemeriksaan antarabangsa di tapak nuklear Iran, manakala seorang pegawai kanan membayangkan Iran perlu keluar daripada triti pengawal senjata nuklear global.

Kebiasaannya, Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran membuat keputusan berkait program nuklear negara itu dan rang undang-undang perlu mendapat kelulusan Guardians Council.

Presiden Iran, Hassan Rouhani menegaskan negara itu akan membalas dendam apabila tiba masanya dan tidak akan tergesa-gesa sehingga masuk ke dalam perangkap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS