Mukhriz: Boikot Coca Cola dan Starbucks
Aman Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesa rakyat Malaysia memboikot dua produk syarikat Amerika iaitu minuman Coca Cola dan rangkaian restoran Starbucks yang didapati menyokong kuat rejim Israel.
Aman Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesa rakyat Malaysia memboikot dua produk syarikat Amerika iaitu minuman Coca Cola dan rangkaian restoran Starbucks yang didapati menyokong kuat rejim Israel.
Pengerusi Aman Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir berkata seluruh rakyat, tanpa mengira batasan kaum dan agama patut bertindak memulau produk Zionis itu bagi menghantar satu amaran jelas dan memberi tekanan kepada Israel dan sekutunya Amerika Syarikat.
" Justifikasi pemboikotan terpilih ini bagi menyedarkan masyarakat pengguna negara ini yang mereka mampu melakukan sesuatu bagi menghentikan kekejaman Israel sebagaimana yang dilakukan oleh Ghandhi di India bagi menjatuhkan pemerintahan British."
"Lagipun semasa kontroversi kartun yang menghina Nabi Muhammad s.a.w dahulu, rakyat sedunia telah berjaya melakukan boikot terhadap barangan Denmark dengan efektif hingga kerajaan Denmark terpaksa meminta maaf bagi pihak kartunis tersebut,"jelasnya kepada media di Ipoh.
Mukhriz menjelaskan, syarikat yang mengeluarkan kedua-dua produk berkenaan jelas sekali menyokong Israel dengan cara menyelurkan dana dan melakukan kerja-kerja perhubungan untuk rejim Yahudi itu.
" Malah Pengerusi Starbucks , Howard Shultz telah mendapat pengiktirafan dan anugerah dari kerajaan rejim tersebut," tambahnya.
Beliau mencadangkan pengguna negara ini beralih ke minuman ringan lain yang banyak terdapat di pasaran tetapi jelas tidak menyokong Israel.
" Saya juga berpendapat minuman teh tarik kita jauh lebih sedap dari latte dan cappucino di Starbucks . Kita sebenarnya mempunyai banyak alternatif.
" Kita rakyat Malaysia patut melahirkan rasa tidak puas hati kepada kedua-dua syarikat ini," tambahnya.
Menurut beliau lagi, negara-negara Arab sudah lama memboikot Coca Cola , maka sudah sampai masanya pengguna Malaysia melakukan tindakan yang sama.
Mukhriz berkata, Aman Malaysia dan PPIM yakin dengan menggunakan kuasa kepenggunaan dan kuasa membeli sahaja, Israel dan Amerika dapat ditundukkan.
Menurut beliau, pihaknya juga akan berkerjasama dengan Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Pesama) yang mempunyai beribu ahli, kedai-kedia runcit dan sesiapa sahaja yang ingin menyertai boikot ini bagi mengajar Israel dan Amerika agar menghormati hak asasi umat Islam di seluruh dunia.
Menyentuh kemungkinan tindakan boikot ini akan menjejaskan negara sebagaimana yang dibimbangi oleh Perdana Menteri baru-baru ini, Mukhriz yakin ia tidak akan mendatangkan kesan sebaliknya kepada negara.
" Ini adalah boikot terpilih yang dilakukan oleh penggguna, tidak membabitkan kerajaan. Saya percaya ia tidak akan backfire negara," ujarnya.

