Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri kongsi gambar, nafi langgar SOP penjarakan fizikal
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 10:40 AM
Dikemaskini: 4:15 AM

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menafikan apa yang didakwanya sebagai fitnah yang menuduhnya melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ismail merujuk gambar dia bersama-sama Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali, speaker DUN Melaka Abd Rauf Yusof dan sejumlah yang lain yang disebarkan di media sosial.

“Beberapa gambar menjadi bahan fitnah terhadap saya dan ketua menteri Melaka serta speaker DUN Melaka sewaktu saya melakukan lawatan kerja ke Melaka Sabtu lepas.

“Kononnya tiada penjarakan sosial antara kami,” katanya di Facebook.

Menurut Ismail, pihak yang menyebarkan fitnah itu sengaja mengambil gambar daripada sisi untuk menunjukkan mereka duduk dalam keadaan rapat.

“Namun inilah gambar sebenarnya.

“Semoga Allah membuka hati-hati mereka ini supaya tidak lagi membuat fitnah kepada sesiapa jua selepas ini,” katanya lagi.

Mengulas berkenaan dia dilihat tidak mengamalkan jarak satu meter, Ismail berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian di restoran, memadai jika ada kerusi kosong di antara orang di sebelahnya.

Dalam hantaran itu, Ismail mengongsikan beberapa gambar menunjukkan dia, Sulaiman dan Abd Rauf serta beberapa orang lagi duduk di satu meja yang sama.

Ismail bertanggungjawab menyampaikan talimat harian berhubung perkembangan Covid-19, termasuk berkenaan jumlah individu yang ditahan atau disaman kerana melanggar SOP pihak berkuasa.

Hantaran Ismail itu dipercayai sebagai maklum balas terhadap hantaran aktivis Fahmi Reza.

Semalam, Fahmi mengongsikan gambar memaparkan Ismail bersama beberapa pemimpin politik di acara tersebut diiringi komen bernada sarkastik:

"Kadang-kadang kita nampak dalam gambar yang ramai-ramai duduk meeting rapat-rapat keliling meja tu sebenarnya dalam masa yang berbeza-beza di tempat berbeza, tetapi dari segi teknologi moden gambar itu disatukan seolah-olah nampak meeting itu bersama."

 Sementara itu, Fahmi membalas hantaran Ismail itu dengan memuat naik beberapa gambar, termasuk gambar yang dikongsi Ismail sendiri.

Dia membangkitkan tindakan Ismail dan orang lain yang tidak memakai pelitup muka serta jarak antara mereka yang dilihat kurang satu meter.

Dia turut menyertakan infografik berkenaan SOP penjarakan fizikal di premis makanan, yang memaparkan kerusi haruslah dikosongkan secara selang-seli bagi memastikan jarak semeter.

 

Lihat Komen
ADS