Bajet 2007 tangani kenaikan harga minyak, kadar faedah
Bajet 2007 yang akan dibentangkan pada 1 September ini akan menyediakan peruntukan yang lebih besar bagi menangani cabaran semasa seperti kenaikan harga minyak dan kadar faedah yang meningkat.
Bajet 2007 yang akan dibentangkan pada 1 September ini akan menyediakan peruntukan yang lebih besar bagi menangani cabaran semasa seperti kenaikan harga minyak dan kadar faedah yang meningkat.
Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, selain itu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan turut menjadi fokus utama bajet kali ini.
"Ia akan menjadi bajet yang menarik untuk menampung keperluan semasa terutama sekali memandangkan persekitaran antarabangsa yang antaranya harga minyak yang tinggi dan kadar faedah yang kian meningkat," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran SME Growth Acceleration Fund RM1 bilion di sini hari ini.
Menurut laporan Bernama, bajet itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 September.
Sementara itu, Presiden/Pengarah urusan kumpulan Bank Pembangunan Datuk Abdul Rahim Mohd Zin berkata dana itu bertujuan meningkatkan pertumbuhan PKS bagi meningkatkan peluasan perniagaan.
"Bagi tujuan ini, sejumlah RM1 bilion akan dilaburkan dalam PKS terpilih yang terbabit dalam perniagaan semasa dan yang kian meningkat dan yang mempunyai rekod prestasi operasi yang baik," katanya.
Fokus pelaburan itu kata Abdul Rahim akan dihalakan kepada PKS yang terbabit dalam pengeluaran komponen dan pemasangan, produk dan perkhidmatan minyak dan gas, pemprosesan makanan, produk dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan perkhidmatan am.
Katanya dana itu yang dilanggan melalui syarikat tujuan khas, SME Growth Acceleration Fund Sdn Bhd (SME GAFSB), akan diuruskan oleh Pembangunan Ekuiti Sdn Bhd (PESB).
Kedua-duanya ialah anggota Kumpulan Bank Pembangunan.
Abdul Rahim berkata SME Bank akan menjadi pelanggan pertama dana itu yang bernilai RM200 juta atau 20 peratus saiz dana itu.
Bank itu akan memainkan peranan pembangunan dua tahun dan pengambilan risiko," katanya.

