Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang dakwa MP Bersatu tunjuk jari tengah
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 4:11 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini kecoh susulan beberapa ahli parlimen pembangkang mendakwa bahawa Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin menunjukkan jari tengah semasa ahli parlimen bersiap sedia untuk pengundian belah bahagi.

Ini selepas ahli parlimen Bersatu itu menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Fahmi Fadzil (PKR- Lembah Pantai) dan Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) membuat hantaran di media sosial berhubung insiden tersebut.

Mereka mendakwa ahli parlimen bekas PKR yang mewakili Puncak Borneo itu menunjukkan jari tengahnya kepada anggota parlimen pembangkang dan menggesa Speaker Azhar Azizan Harun supaya bertindak.

Bagaimanapun, sebaliknya, sesi itu ditangguhkan dan mikrofon mereka pula dimatikan.

Terdahulu, sekumpulan anggota parlimen terdengar berteriak, "Puncak Borneo (Willie) tunjuk jari tengah!" susulan pertikaian hangat semasa ucapannya.

Willie, bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

"Ingin saya menegaskan bahawa itu adalah tidak benar dan mungkin mereka salah nampak.

"Kalau mereka beranggapan demikian saya sedia minta maaf," katanya.

Dia berkata demikian ketika speaker meminta penjelasan daripadanya sama ada dirinya memang menunjukkan jari tengah atau tidak.

Sementara, ahli parlimen kerajaan termasuk Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan) menegaskan bahawa dia tidak melihat insiden tersebut.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa ahli parlimen pembangkang bersorak 'pengkhianat' yang ditujukan kepada ahli parlimen Puncak Borneo itu.

Beberapa daripada mereka, tidak berpuas hati dengan timbalan menteri yang keluar PKR pada Februari lalu dan menyertai Bersatu. 

Willie menyertai kumpulan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali membentuk kerajan Perikatan Nasional (PN) yang berkuasa selepas bekerjasama dengan Umno, PAS dan GPS serta beberapa parti lain.

Bagi Vivian Wong (DAP- Sandakan), insiden itu mengejutkan, terutamanya kerana Willie bukan hanya sekadar sorang anggota parlimen biasa tetapi juga seorang timbalan menteri.

"Dia tidak hanya menghina dewan tetapi juga semua wanita.

Gambar fail - Vivian Wong

"Saya juga menyaksikan pemimpin PN yang duduk di dekat saya meminta Jelutong (Rayer) menunjukkan jari tengahnya kerana mereka tidak tahu bagaimana dan tidak memahami maksud tindakan itu.

"Ini sama sekali tidak dapat diterima," katanya kepada Malaysiakini.

Wong juga berkata, pemimpin dari pembangkang meminta Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), yang duduk di sebelah Willie, untuk mengesahkan sama ada dia  melihat perbuatan itu yang dilakukan bukan sekali tetapi dua kali.

"Tetapi dia enggan memberi komen. Dia harus berdiri dan meminta Puncak Borneo untuk mengakui tingkah lakunya yang tidak senonoh.

"Sebagai menteri pengajian tinggi, dia seharusnya menjadi contoh kepada pendidik dan pelajar," kata Wong.

Lihat Komen
ADS