Jambatan Bengkok: Najib minta Dr M kemuka bukti kepada kabinet
Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta mengemukakan bukti persetujuan Singapura terhadap pembinaan 'Jambatan Bengkok' bagi menggantikan Tambak Johor kepada kerajaan.
Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta mengemukakan bukti persetujuan Singapura terhadap pembinaan 'Jambatan Bengkok' bagi menggantikan Tambak Johor kepada kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika Dr Mahathir takut mendedahkan kepada umum kerana bimbangkan Akta Rahsia Rasmi (OSA), beliau boleh menyerahkannya terus kepada kabinet.
"Saya tidak tahu sama ada bukti yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir itu sebagai OSA, tetapi dia boleh menyerahkan terus kepada kita (kabinet). Kita nak tengok bukti dulu," katanya selepas merasmikan persidangan khas Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di ibu negara hari ini.
Timbalan Perdana Menteri mengulas kenyataan Dr Mahathir Sabtu lalu yang mendakwa beliau sanggup bersumpah di masjid berhubung isu Jambatan Bengkok kerana mempunyai bukti menunjukkan Singapura bersetuju dengan projek tersebut.
Menyentuh soal penjualan pasir kepada Singapura pula, Najib menegaskan, walau apapun dakwaan Dr. Mahathir, kerajaan berpegang pada kenyataan bahawa tawaran itu dibuat oleh Singapura.
"Perkara nak jual pasir ni tak jadi. Perkara ni dah jadi akademik. Kerajaan dah putuskan tak jual pasir dan tak bagi ruang udara,"ujarnya.
Beliau juga menjelaskan, tindakan itu adalah keputusan kabinet, bukannya keputusan sendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Mengenai tindakan disiplin terhadap bahagian Umno yang mengundang Dr Mahathir berceramah sebagaimana yang dilakukan oleh Umno bahagian Petaling Jaya Utara Sabtu lalu, Najib berkata, parti sedang memantau perkembangan itu.
"Pucuk pimpinan parti belum membuat apa-apa keputusan terhadap bahagian berkenaan. Ini kerana Dr Mahathir masih anggota Umno dan perjumpaan itu dibuat untuk anggota Umno."
"Tetapi kami akan lihat perkembangannya," tambah beliau sambil menyatakan terserah kepada Lembaga Disiplin parti untuk menelitinya.

