Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Universal Music tak kompromi artis terbabit jenayah, serangan seksual

Syarikat rakaman Universal Music Malaysia (Universal Malaysia) menegaskan mereka memang menentang sekeras-kerasnya perbuatan keganasan terhadap wanita dan senarang perlakuan gangguan seksual.

Pengurus Promosi Universal Malaysia Anne Mukhtar berkata pihaknya juga tidak berkompromi mahupun menyebelahi mana-mana individu atau artis sekiranya mereka didapati benar-benar bersalah melakukan jenayah tersebut.

“Universal memang menolak sepenuhnya perbuatan gangguan seksual dan keganasan yang dilakukan terhadap mana-mana wanita,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia diminta mengulas mengenai kes seorang artis yang baru menandatangani kontrak di bawah syarikat itu beberapa bulan lalu kini direman kali kedua bagi membantu siasatan berhubung kes rogol. 

Setakat ini polis mengesahkan terdapat tujuh kes difailkan dan bekas peserta program realiti agama sebuah stesen televisyen swasta terbabit disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, figura awam yang juga pelakon drama bersiri itu menafikan dakwaan berkenaan selain dia sendiri membuat laporan polis bagi "membersihkan namanya".

Anne berkata, Universal Malaysia tidak boleh mengulas lanjut perkara itu buat masa ini kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

“Dia baru saja tandatangani kontrak tiga atau empat bulan lalu. Kami belum menggerakkan sebarang rangka promosi atau perkara yang berkaitan lagi.

“Itu saja yang boleh kami komen. Buat masa ni pihak kami tak boleh komen lanjut kerana kes masih dalam siasatan polis,” katanya.

Lihat Komen
ADS