Malaysiakini
BERITA

Kluster Teratai: KKM kesan 150 kes positif dalam komuniti

Bernama

Diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 150 kes positif Covid-19 yang dikenal pasti sebagai jangkitan dalam komuniti berpunca daripada Kluster Teratai.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini KKM telah menjalankan 6,609 saringan untuk Kluster Teratai dan daripada jumlah itu sebanyak 5,083 dikesan positif.

"Sehingga hari ini, dianggarkan sebanyak 150 kes positif COVID-19 dikesan di peringkat komuniti dan luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang melibatkan Kluster Teratai," katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jangkitan daripada Kluster Teratai telah berkembang kepada dua generasi jangkitan selepas pekerja-pekerja tempatan yang positif turut menjangkiti ahli keluarga dan kontak sosial mereka.

Beliau berkata KKM telah menjalankan saringan peringkat komuniti di Meru, Klang bermula hari ini menggunakan kit Ujian Pantas (RTK)-Antigen.

"Aktiviti saringan masih dijalankan untuk Kluster Teratai dan KKM berharap dapat membendung penularan jangkitan dalam komuniti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata KKM sedang mempertimbangkan permintaan daripada Selangor dan Negeri Sembilan untuk memanggil semula kakitangan kesihatan mereka yang bertugas di Sabah kembali berkhidmat di negeri masing-masing bagi membantu mengawal penularan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata KKM telah menggerakkan seramai 59 anggota perubatan dan 57 anggota kesihatan awam secara dalaman di Selangor untuk membantu saringan di beberapa kawasan berisiko.

"Sekarang ada permintaan untuk Selangor dan Negeri Sembilan mendapatkan kembali kakitangan mereka yang telah berkhidmat di Sabah. Kami lihat sekarang ini trend penurunan di Sabah mungkin kami pertimbangkan mereka (petugas KKM dari Semenanjung) ini kembali ke negeri masing-masing untuk membantu pengesanan kes dan penilaian risiko di kawasan-kawasan tersebut," katanya.

Menurut beliau, KKM juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Imam Response and Relief Team (IMARET), Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk membantu mempercepat saringan di lapangan, khususnya di Selangor.

"Antara tugas untuk mereka ialah menjalankan siasatan kes Covid-19, melihat kepada pengesanan kes kontak rapat dan pengambilan sampel di lapangan. Jadi, ini membantu KKM untuk mengoptimum sumber manusia dan petugas-petugas kami untuk membantu dan mempercepat saringan di lapangan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menafikan dakwaan bahawa kapasiti katil di hospital kerajaan tidak mencukupi bagi merawat pesakit bukan Covid-19, kerana hanya pesakit Covid-19 di tahap tiga hingga lima yang dirawat di hospital.

"Mereka yang dimasukkan ke hospital adalah amat kurang iaitu pesakit berada di tahap tiga dengan jumlah pesakit ialah 4.2 peratus, tahap empat (1.7 peratus) dan tahap lima (0.6 peratus). Jadi, kami sebenarnya tiada masalah dalam merawat pesakit bukan Covid-19 di hospital dan dakwaan ini tidak betul, " katanya.

Selain itu, beliau berkata pesakit tahap satu dan dua yang tidak bergejala serta mempunyai gejala ringan ditempatkan di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC).

"Sebelum COVID-19 melanda, hospital memang dah sesak dan yang penting adalah tahap pengurusan yang dilaksanakan," katanya, sambil menambah hanya 45 daripada 147 hospital di seluruh negara dijadikan hospital hibrid iaitu merawat kedua-dua kes (pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19).

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan mengatakan katil di hospital kerajaan tidak mencukupi bagi merawat pesakit bukan COVID-19 selain keadaan terlalu sesak dan masa menunggu yang lama.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini turut mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan kes bukan kecemasan dan rawatan susulan bagi penyakit bukan Covid-19 dirujuk kepada klinik atau hospital swasta bagi meringankan beban doktor di hospital dan klinik kerajaan.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.