mk-logo
Berita
Amaran merah cuaca bahaya di beberapa kawasan di K'tan, T'ganu
Diterbitkan:  Dec 3, 2020 9:08 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya (merah) di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon, dalam satu kenyataan, berkata ia melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan serta Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu.

“Hujan sangat lebat dijangka berterusan (di kawasan-kawasan terlibat) sehingga esok,” katanya.

Beliau berkata amaran cuaca buruk (jingga) dengan hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok turut dikeluarkan bagi Tanah Merah dan Machang di Kelantan serta Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu.

Amaran cuaca waspada (kuning) dengan hujan lebat pula dikeluarkan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan daerah Hulu Perak di Perak hari ini, selain Jeli dan Kuala Krai di Kelantan serta Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang sehingga esok.

“ Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku, terutama di kawasan pantai di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung,” katanya.

Jailan berkata, selain itu, kebanyakan kawasan di negeri pantai barat Semenanjung iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta pedalaman Pahang, barat Sabah dan barat Sarawak dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutama pada waktu petang sehingga awal malam.

“ Keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh,” katanya.

Beliau juga berkata angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 km/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, dan ia boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS