Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Terengganu bertambah kepada 49 dalam tempoh enam jam, berbanding 17 PPS petang tadi.

Jumlah mangsa banjir dipindahkan juga menunjukkan peningkatan mendadak kepada 1,817 orang daripada 503 keluarga setakat 10 malam ini, berbanding 781 orang daripada 218 keluarga pada 4 petang tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dipetik Bernama berkata peningkatan ketara berlaku di Marang iaitu seramai 681 mangsa daripada 181 keluarga berbanding 298 orang daripada 81 keluarga.

Mangsa banjir yang dipindahkan dijangka meningkat lewat malam ini memandangkan kerja pemindahan masih giat dijalankan di beberapa kawasan, katanya.

Sementara itu, susulan hujan lebat sejak pagi tadi sebanyak 46 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Kelantan, hari ini.

Ia melibatkan seramai 194 mangsa banjir di daerah Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Berdasarkan portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pemindahan mangsa banjir itu bermula pada jam 6 petang susulan kediaman mereka dinaiki air.

PPS di daerah Kota Bharu yang beroperasi di Sekolah Kebangsaan Tiong merekodkan 49 mangsa; Sekolah Kebangsaan Melor dengan 23 mangsa dan Islamic Outreach ABIM Kok Lanas seramai 11 mangsa.

Empat PPS di daerah Pasir Puteh pula dibuka melibatkan Dewan Kompleks Kamil seramai 67 mangsa; Sekolah Kebangsaan Changgai 17 mangsa; Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2 dengan 17 mangsa dan Sekolah Kebangsaan Kamil 3 membabitkan 10 mangsa.

Dalam perkembangan itu, laporan portal infobanjir.water.gov.my, setakat jam 11 malam ini menunjukkan paras air Sungai Golok mencatat bacaan melepasi paras amaran iaitu 8.71 meter.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan ramalan cuaca bahaya tahap merah membabitkan beberapa daerah di Kelantan sehingga esok.


 

 

Lihat Komen
ADS