Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan Perak perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal
Diterbitkan:  Dec 6, 2020 10:20 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar, serta seluruh barisan exco kerajaan negeri.

Ahmad Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu menyerahkan surat peletakan jawatannya di Istana Kinta di Ipoh semalam, selepas kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya di sidang DUN 4 Dis lalu.

Menurut kenyataan oleh Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja Kolonel (B) Abd Rahim Mohamad Nor, Ahmad Faizal menyembahkan watikah memaklumkan kedudukannya sebagai menteri besar terjejas secara langsung berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

“Dengan itu beliau mempersembahkan hasrat meletak jawatan sebagai menteri besar bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

“Permohonan meletak jawatan sebagai menteri besar Perak bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang dipersembahkan melalui warkah bertarikh 19 Rabiulakhir 1442 (5 Disember 2020), mendapat perkenan baginda,” kata Abd Rahim.

Abd Rahim juga memaklumkan Sultan Nazrin menzahirkan terima kasih kepada Ahmad Faizal yang berkhidmat sebagai menteri besar sejak 12 Mei 2018 serta barisan exco atas khidmat yang diberikan.

Faizal gagal mendapat sokongan majoriti Adun dalam usul undi percaya yang dibentangkan di sidang DUN pada 4 Disember lalu.

Usul dibawa Abd Manaf Hashim (Umno-Pengkalan Baru) itu hanya disokong 10 Adun manakala 48 orang lagi menolaknya dan seorang berkecuali.

Belum pasti sama ada Umno mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Parti itu memegang 25 kerusi DUN, kurang lima kerusi daripada jumlah minimum yang diperlukan.

Bersatu memiliki lima kerusi manakala PAS - yang mengatakan tidak akan menyertai usaha membentuk kerajaan negeri baru - memiliki tiga kerusi.

Jika Umno gagal mendapat cukup sokongan daripada Umno dan PAS, parti itu perlu mendapatkan sokongan pembangkang negeri, iaitu PH, yang memiliki 24 kerusi DUN.

Lihat Komen
ADS