Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir di T'ganu dan Kelantan kian pulih, cuaca semakin baik

Terengganu dan Kelantan terus pulih daripada banjir dengan cuaca semakin baik dan bilangan mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di Terengganu, jumlah mangsa terus berkurang kepada 295 orang daripada 73 keluarga setakat lapan pagi ini berbanding 437 mangsa daripada 107 keluarga, petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman, berkata hanya lima PPS beroperasi ketika ini, masing-masing dua di Besut dan Setiu dan satu di Marang.

“Mangsa paling ramai ketika ini ialah di Besut iaitu 199 orang diikuti Setiu (61) dan Marang (35). Lebih ramai dijangka akan pulang ke rumah masing-masing sekejap lagi kerana cuaca yang semakin baik hari ini,” katanya.

Di Kelantan, bilangan mangsa banjir juga berkurangan kepada 108 orang daripada 22 keluarga berbanding 109 orang semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di empat PPS membabitkan dua jajahan, masing-masing dua di Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas menjadi daerah mencatat jumlah tertinggi mangsa banjir dengan 58 mangsa daripada 12 keluarga yang dipindahkan di dua PPS, manakala di Pasir Puteh melibatkan 50 orang daripada 10 keluarga di dua PPS.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), http://publicinfobanjir.water.gov.my, setakat lapan pagi ini menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.39 meter (m) (bahaya 9m).

Cuaca di Kelantan keseluruhan cerah tanpa hujan pada pagi ini.

Sementara itu, banjir di Pahang juga turut pulih selepas lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Raub ditutup, dengan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat, kata Ketua Polis Daerah Supt Kama Azural.

Dia berkata cuaca panas semalam membantu mempercepatkan banjir surut dan mangsa mula dibenarkan pulang sejak 2.30 petang, selepas polis berpuas hati keadaan adalah selamat.

“PPS terakhir ditutup adalah PPS Masjid Jamek Kampung Kuala Semantan yang menempatkan 38 mangsa daripada 12 keluarga, yang ditamatkan operasi pada lapan malam,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir di Pahang pada musim tengkujuh tahun ini, apabila hujan berterusan menyebabkan Sungai Lipis di Batu Talam, melimpah pada Jumaat lalu.

Keadaan itu menyebabkan 156 mangsa daripada 52 keluarga di lapan kampung yang tinggal berhampiran sungai berkenaan terpaksa berpindah ke PPS.

Di Perak, banjir pulih sepenuhnya dengan PPS yang dibuka sejak Isnin lepas di daerah Kerian tutup pada pukul 6 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata seramai 27 orang mangsa banjir dari Kampung Matang Tengah yang berada di PPS di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Bagan Serai akhirnya dibenarkan pulang, selepas banjir surut di kediaman masing-masing.

Setakat pukul sembilan pagi ini, tiada PPS yang dibuka berikutan cuaca baik di kebanyakan tempat sejak beberapa hari di negeri itu.

Cuaca di kebanyakan tempat di Perak pada pagi ini juga adalah cerah.

-Bernama

Lihat Komen
ADS