Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno 'seboleh mungkin' mahu kekal bentuk pentadbiran lalu tapi tak tolak jajaran baru

Umno "seboleh mungkin" mahu mengekalkan bentuk pentadbiran lalu dalam kerajaan Perak yang akan ditubuhkan tetapi tidak menolak jajaran politik baru, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, ia selepas mengambil kira pendirian yang disuarakan Bersatu dan PAS berkenaan perkara itu.

"Namun kita tahu dari (kenyataan) setiausaha agung PAS dan Bersatu, maka suatu pendekatan akan diambil oleh Umno dan BN bagi menentukan pembentukan kerajaan baru, tetapi ia akan ambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang terbentuk lebih kukuh dukungannya.

"Untuk itu, saya akan mempersembahkan cadangan nama (calon menteri besar) kepada Sultan Nazrin Shah untuk perkenan tuanku," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai sesi mengadap di Istana Kinta di Ipoh, hari ini.

Zahid berkata, Umno telah berbincang dengan semua pihak, sama ada dalam Perikatan Nasional (PN) dan juga PH, berkenaan perkara itu.

Diminta mengulas berkenaan kemungkinan jajaran baru melibatkan Umno, Zahid berkata:

"Saya sebut kekal jajaran politik yang dahulu tetapi jika ia tidak dapat dilakukan, tentu ada penyelesaian harus dilakukan untuk membuat penjajaran yang baru."

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baru, manakala Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata partinya akan memantau situasi semasa dan terus bersama PAS dan anggota Perikatan Nasional (PN) yang lain dalam membuat keputusan.

Faizal gagal mendapat sokongan majoriti Adun dalam usul undi percaya yang dibentangkan di sidang DUN pada 4 Disember lalu.

Usul dibawa Abd Manaf Hashim (Umno-Pengkalan Baru) itu hanya disokong 10 Adun manakala 48 orang lagi menolaknya dan seorang berkecuali.

Belum pasti sama ada Umno mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Parti itu memegang 25 kerusi DUN, kurang lima kerusi daripada jumlah minimum yang diperlukan.

Dalam pada itu, Zahid menyuarakan penghargaan terhadap Sultan Nazrin yang berkenan menerima mengadap pemimpin parti politik peringkat negeri yang menurutnya menandakan undi percaya terhadap Ahmad Faizal sebagai sebahagian proses demokrasi.

Berkenaan calon menteri besar, Zahid tidak mengulas lanjut tetapi mengatakan nama akan segera dihantar setelah "memuktamadkan perbincangan dengan beberapa pihak".

"Semua kemungkinan (kerjasama) akan ada, ia tertakluk kepada keputusan muktamad yang akan dilakukan oleh pihak parti," katanya lagi.

Semalam, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa tiga nama sedang dipertimbangkan iaitu, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad, bekas menteri besar Zambry Kadir dan Adun Rungkup Shahrul Zaman Yahya.

Lihat Komen
ADS