Ketua Menteri Sabah, Hajiji Mohd Noor diminta mencontohi kerajaan Johor yang menyediakan peruntukan buat pembangkang secara sama rata, kata Adun Luyang dari DAP, Phoong Jin Zhe.

Sebagai satu-satunya negeri yang dikuasai Bersatu, Phoong berkata, Hajiji harus mengikuti jejak Hasni dan bersikap inklusif serta bertolak ansur dengan pembangkang.

"Ini untuk memastikan setiap Sabahan diperlakukan secara adil dan saksama, tidak kira sama dari kawasan pembangkang atau kerajaan, tidak ada yang harus ditinggalkan atau diabaikan," katanya dalam satu kenyataan.

Phoong berkata, bulan lalu dia bertanya mengenai perkara tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri namun mendapat jawapan mengecewakan.

"Saya kecewa dengan jawapan bertulis itu kerana kerajaan negeri menjawab bahawa mereka belum bersedia untuk menyetujui peruntukan tersebut," katanya.

Merujuk kenyataan Hasni yang menggambarkan pembangkang Johor sebagai "rakan strategik", Phoong berkata pembangkang juga boleh memainkan peranan yang sama di Sabah.

"Di Sabah, kebanyakan wakil kawasan bandar berasal dari kubu pembangkang dan kerajaan terdiri daripada wakil majoriti dari kawasan luar bandar.

"Kedua-dua parti harus bekerjasama untuk membangun dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk negeri Sabah dan rakyat," katanya.

Hasni hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua Adun termasuk Adun pembangkang dalam usaha menangani Covid-19.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM200,000 diberikan kepada Adun pembangkang selepas peruntukan sebanyak RM50,000 kepada mereka dinaikkan kepada RM150,000 bulan lalu.

Perkara itu diumumkan ketika Umno dikatakan mempertimbangkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak, selepas menteri besar dari Bersatu, Ahmad Faizal Azumu digulingkan menerusi undi percaya.

Sebelum ini terdapat kebimbangan bahawa Bersatu akan membawa "usul balas dendam" pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.