Jika sebelum ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menghadiahkan kereta kepada doktor dan jururawat, kali ini baginda berkenan mengurniakan cincin khas sebagai kenangan kepada kakitangan istana.
Dalam satu hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim mendapat ilham itu melalui hobi baru baginda iaitu membuat batu cincin dari sejenis spesis siput.
“Almarhumah bonda saya pernah kurniakan satu cincin sebegini ketika saya muda dan kini saya turunkan ia kepada (DYAM) Tunku Mahkota.
“Beberapa ketika dahulu, saya terjumpa siput yang sama dihidangkan dalam santapan saya, jadi saya telah mendapat batunya dan mengilatkannya sendiri. Lalu saya fikir ini boleh menjadi satu cenderahati yang sangat bermakna untuk kakitangan saya,” titah bagida yang dipetik Facebook Royal Press Office hari ini.
Batu-batu permata cincin untuk setiap kakitangan istana itu telah dipilih dan digilap sendiri oleh Sultan Ibrahim sebelum dibentuk oleh tukang emas peribadi baginda.
Baginda juga bercadang untuk menggunakan batu-batu berkenaan sebagai perhiasan kancing baju Melayu, cufflink dan pin tali leher.
