Nazri dakwa ada bukti Dr. M mahu jatuhkan PM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata beliau mempunyai bukti Tun Dr Mahathir Mohamad cuba menjatuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata beliau mempunyai bukti Tun Dr Mahathir Mohamad cuba menjatuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata selama ini bekas Perdana Menteri itu tidak pernah menafikan dakwaan yang menuduhnya cuba menjatuhkan Abdullah.
"Saya sehingga hari ini menunggu penafian Tun terhadap kenyataan saya benarkah dia nak jatuhkan Pak Lah tetapi tidak ada. Hari-hari saya baca semua surat khabar tapi Tun tak nafi pun," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Kompleks Mahkamah di Kota Bharu.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, beberapa kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang pernah disiarkan di akhbar Straits Times Singapura sebelum ini jelas membuktikan beliau mempunyai niat tersebut.
Sebaliknya menurut Nazri, Dr Mahathir hanya berkata beliau tidak mampu untuk melakukannya secara berseorangan dan perkara sebesar itu hanya boleh dilakukan oleh anggota Umno sendiri.
"Apa tujuannya tu kalau bukan nak burukkan imej Perdana Menteri dan saya nak dengar sendiri Tun cakap Nazri ni bohong Tun cuba nak jatuhkan Pak Lah. Saya tidak ada masalah nak dedah bukti itu," katanya.
Bagaimanapun, Nazri menafikan sekali lagi pernah membuat kenyataan Dr Mahathir mahu merampas kuasa kerana beliau yakin bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai niat sedemikian.
"Saya bukan bodoh nak cakap macam tu," katanya.
Kenangan manis
Beliau berkata tindakannya "menghentam" Dr Mahathir bukan bermakna perasaan hormat dan sayang kepada bekas pemimpin itu sudah hilang sebaliknya dibuat kerana lebih sayangkan parti.
"Saya sebenarnya sayangkan Tun kerana banyak kenangan manis saya bersama Tun tetapi demi lebih sayangkan parti saya terpaksa pertahankan apa yang dibuat kerajaan kerana kami sebagai wakil rakyat ada tanggungjawab kepada rakyat dan negara," katanya.
Beliau berkata demi masa depan parti, adalah lebih baik bekas Perdana Menteri itu menerima hakikat bahawa keputusan kerajaan terhadap beberapa perkara yang dibangkitkannya adalah untuk rakyat.
"Tak kan kerajaan menghentikan pembinaan jambatan ke Singapura kerana mahu mengecewakan Tun. Keputusan itu demi rakyat dan bukan mahu melihat Tun kecewa sampai sanggup berbuat begini," katanya.
"Tak kan kita nak benarkan Tun yang pernah berkuasa selama 22 tahun berbuat apa sahaja untuk menghancurkan parti yang kita sayang ini.
Nazri juga berkata, secara tidak langsung masalah yang ditimbulkan oleh Dr. Mahathir telah mewujudkan "beberapa kelompok" dalam kabinet serta Umno sendiri dan jika perkara itu tidak dihentikan sudah tentu masalah yang lebih besar akan dihadapi terutama pada pilihanraya umum akan datang.

