MP Tuaran kemuka usul potong peruntukan KPKT pula
Anggota Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau mengemukakan dua usul di Dewan Rakyat yang ditujukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Usul berkenaan bertujuan membatalkan program Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) oleh kementerian itu dan memperuntukkan semula peruntukan itu kepada Universiti Malaya Sabah (UMS).
Di bawah Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan 2021, sebanyak RM8,627,200 diperuntukkan untuk PeKT bagi 'pemberian dan kenaan bayaran tetap".
Ia tidak diperuntukkan di bawah "emolumen" atau "bekalan dan perkhidmatan".
Menurut takrifan Jabatan Akauntan Negara, "pemberian dan kenaan bayaran tetap" merekodkan semua perbelanjaan dalam bentuk pemberian atau bantuan, bayaran berkenaan dengan hutang negara, pencen dan ganjaran kakitangan serta tuntutan insurans dan pampasan.
Tidak banyak yang diketahui mengenai tujuan PeKT.
Kementerian itu memberitahu Dewan Rakyat bulan lalu bahawa PeKT mempunyai 261 wakil atau "aktivis" tahun ini di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan - tiga negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH).
Matklamat aktivis ini adalah untuk menyebarkan maklumat mengenai aktiviti kementerian berkenaan.
Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari berkata Selangor sendiri berhasrat memiliki seramai 288 aktivis PeKT dan dibayar RM2,000 sebulan untuk perkhidmatan mereka.
KPKT diketuai oleh Zuraida Kamaruddin, yang juga pemimpin Bersatu.
Ini adalah usul kedua dikemukakan Wilfred. Sebelum ini dia membawa usul agar peruntukan kepada Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri (Miti) bagi mengadakan persidangan Apec 2020 dipotong sebanyak RM20 juta.
Usul itu ditolak oleh speaker Dewan Rakyat dengan alasan ia dikemukakan sebelum waktunya.
Pejabat speaker Dewan Rakyat dijangka menolak usul Wilfred sekali lagi kerana usul kali ini dikemukakan pada 4 Dis dan giliran KPKT membahaskan belanjawannya adalah pada 8 Dis.

