Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM teruskan pembelajaran tulisan jawi di sekolah
Diterbitkan:  Dec 8, 2020 9:07 AM
Dikemaskini: 1:07 AM

Kerajaan memutuskan untuk kekal dengan keputusan mengenai pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular yang dibuat tahun lalu.

Dengan ketetapan itu pembelajaran jawi akan tetap diteruskan di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan mulai 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya, berkata keputusan untuk memperkenalkan tulisan jawi itu dibuat kerajaan pada 14 Ogos tahun lalu. Untuk rekod keputusan itu dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mendapat bantahan sesetengah pihak.

Ia juga menjadi satu daripada isu yang panas dan menjejaskan imej kerajaan PH sehingga kemudian membawa kepada kejatuhan gabungan berkenaan dan melahirkan Perikatan Nasional (PN).

"Inilah keputusan dibuat jemaah menteri dan pada dasarnya kita mengikut arahan diputuskan oleh jemaah menteri," kata Muslimin di Dewan Rakyat semalam.

Ahli parlimen Sungai Besar itu berkata demimian sebagai menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada rancangan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah rendah - termasuk sekolah vernakular - akan diteruskan.

Menurut Muslimin pembelajawan tulisan jawi itu bukan seperti yang digambarkan secara negatif oleh pihak tertentu sebaliknya hanya membabitkan aspek seni, warisan dan sejarah yang perlu dihargai.

"Kita bukan mengajar menulis dan membaca atau mengajar 30 huruf dalam (dalam tulisan jawi) alif, ba, ta, sebaliknya ia sekadar proses pengecaman.

"Contohnya dalam wang kertas kita ada tulisan jawi di belakangnya. Ada tulisan Bank Negara Malaysia dan Ringgit Malaysia dalam tulisan jawi.

"Jadi, dalam pengenalan tulisan jawi bagi (murid) Tahap 2 Tahun 4 bermula tahun ini hanyalah proses pengecaman yang perlu mereka pelajari," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS