Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Nazrin titahkan Adun Bersatu dan PAS mengadap

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sudah menitahkan Adun Bersatu dan PAS untuk datang mengadap baginda bagi membuktikan calon menteri besar dari Umno mendapat sokongan majoriti di DUN.

Anggota Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini berkata sebentar tadi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sudah mengadap Sultan Nazrin Shah untuk menyerahkan nama calon menteri besar.

"Tuanku menerima maklumat dan status terkini yang dipersembahkan dan baginda perlu diyakinkan bahawa perkara yang disembahkan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu.

"Oleh kerana itu selanjutnya tuanku menitahkan Adun Bersatu dan PAS untuk datang mengadap pada bila-bila masa hari ini," katanya kepada media di Istana Kinta, Ipoh pagi ini.

Menurut Mohd Annuar lagi istiadat angkat sumpah jawatan menteri besar akan hanya dilaksanakan setelah Sultan Nazrin yakin Umno memiliki majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Justeru katanya pihak istana sedang menunggu wakil Bersatu dan PAS untuk menghadap Sultan Nazrin.

Ditanya sama ada wakil Pakatan Harapan (PH) juga akan mengadap, Mohd Annuar berkata, hal itu tidak dapat diulas buat masa ini.

"Saya tak boleh nak cakap... Setakat ini pihak istana memaklumkan Adun Bersatu dan PAS sudah dititahkan menghadap Sultan Nazrin untuk baginda mendengar apa pendirrian mereka dalam soal penubuhan kerajaan Perak," katanya.

Isu pelantikan menteri besar menjadi perhatian ramai selepas Umno membawa usul percaya kepada Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar pada 4 Dis lalu.

Adun Chenderiang itu kemudian gagal mendapat sokongan majoriti untuk kekal sebagai menteri besar.

Bagaimanapun dengan komposisi semasa dalam DUN Perak, tiada mana-mana parti tunggal memiliki penguasaan majoriti menjadikan pelantikan menteri besar memerlukan sokongan parti lain.

Dalam keadaan begitu wujud spekulasi Umno akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut membabitkan DAP.

Sementara itu Malaysiakini difahamkan, pemimpin PH juga dititahkan untuk mengadap Sultan Nazrin hari ini.

Bagaimanapun, pertemuan dengan Sultan Perak dengan wakil pelbagai parti politik itu dijangka hanya akan berlangsung selepas jam 2 petang.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS