Tentera kawal Genting, penduduk jalani ujian Covid-19
Anggota tentera dan polis dikerahkan mengawal tiga kondominium di Genting Highlands setelah satu kluster kes Covid-19 dikesan di kawasan itu.
Penduduk di kediaman berkenaan turut menjalani ujian Covid-19, hari ini dan memakai gelang kuarantin sehingga 14 Disember, lapor China Press.
Kondominium yang terjejas adalah Amber Court, Ria Apartment, Kayangan Apartment.
Menurut akhbar harian itu, penduduk hanya dibenarkan membeli bahan makanan di kedai runcit di bawah apartmen mereka, sementara orang luar dilarang masuk.
Pada Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan kluster Jalan Genting yang melibatkan daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur dan daerah Bentong, Pahang, di mana Genting terletak.

Sehingga semalam, kira-kira 362 orang telah diperiksa untuk Covid-19 bagi kluster itu, dengan 45 mereka didapati positif.
Seorang penduduk Amber Court memberitahu China Press bahawa "beratus-ratus" pekerja asing telah dibawa pergi dengan trak dari kondominium itu.
Anggota keselamatan telah mengawal urusan keluar masuk di Pangsapuri Ria dan Pangsapuri Kayangan sejak 7 Disember, lapor akhbar itu.
Ketika dihubungi oleh China Press, Pengarah Kesihatan Pahang Dr Bahari Awang enggan mengulas lanjut dan memberitahu orang ramai supaya menunggu pengumuman rasmi dari kementerian berkenaan.
Malaysiakini telah menghubungi Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob untuk bertanya sama ada kondominium itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Negeri Pahang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sementara negeri jiran Selangor pula berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lebih ketat.
Walau bagaimanapun, perjalanan rentas negeri dibenarkan.
Daerah Bentong adalah zon merah dengan 53 kes dilaporkan dalam 14 hari terakhir.
Selain Bentong, Kuantan dan Pekan adalah zon kuning dengan lima kes dan satu kes masing-masing dilaporkan setiap dua minggu yang lalu.
Daerah Pahang yang lain adalah zon hijau.

