ROS benarkan MCA tangguh AGM hingga Jun 2021
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah memaklumkan kepada MCA bahawa ia telah meluluskan permohonan parti itu untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunan (AGM) peringkat bahagian, konvensyen negeri, dan Perhimpunan Agung MCA untuk tahun 2020 hingga selewat-lewatnya 30 Jun 2021.
Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon mengatakan dalam satu kenyataan bahawa setelah dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Politik parti, telah diputuskan bahawa AGM bahagian dan sayap Pemuda serta Wanita harus tetap diselesaikan sebelum 31 Disember 2020.
"Sayap Pemuda dan Wanita setiap Negeri masing-masing perlu berhimpun untuk AGM negeri 2020 selewat-lewatnya pada 31 Jan 2020.
"Mesyuarat tahunan MCA dan Perhimpunan Agung serta dua sayap di peringkat Pusat akan diadakan serentak dengan perayaan ulang tahun parti tahun depan," kata Chong dalam satu kenyataan hari ini.
Dia mengingatkan semua perwakilan untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan ketika AGM bahagian dan AGM sayap Wanita dan Pemuda negeri, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
Chong menambah bahawa Jawatankuasa Pembangunan Politik juga telah mencapai ketetapan untuk tidak mengadakan konvensyen negeri tahun ini.
Awal minggu ini setiausaha penganjur DAP Anthony Loke juga mengumumkan bahawa partinya telah mendapat kebenaran dari ROS untuk menangguhkan kongres nasional dan pemilihan parti sehingga enam bulan, sebelum perlu diadakan pada tarikh tidak lewat dari 30 Jun 2021.

