Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Pejuang sokong pembangkang kembali ke meja rundingan
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 5:05 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Ketua Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin menyatakan sokongan agar pembangkang kembali ke meja rundingan.

Abu Hafiz berkata demikian sambil mengambil maklum seruan serupa Pemuda Amanah dan DAP untuk membentuk barisan pembangkang baru yang bersatu bagi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Katanya, pemimpin pemuda merupakan pengimbang antara ketegasan pimpinan utama parti dan realiti akar umbi yang melihat kepimpinan parti-parti pembangkang gagal menunjukkan kekuatan yang sebenar apabila menolak untuk duduk bersama dalam membuat sesuatu keputusan secara tuntas.

"Oleh yang demikian, Pejuang Muda menetapkan bahawa kami terbuka untuk menyokong apa-apa perundingan atau usaha bagi menubuhkan sebuah pembangkang yang berpadu sama ada dalam Dewan Rakyat mahupun dalam menghadapi PRU-15 kelak.

"Di samping itu, watak-watak perwakilan baru dan segar seharusnya ditampilkan bagi menerajui perbincangan dan rundingan tersebut bagi mewakili setiap parti dengan tokoh-tokoh senior semua parti harus kekal sebagai kumpulan penasihat utama," kata Abu Hafiz dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu hadir ketika pembangkang dilihat gagal menolak belanjawan dari PN walaupun terdapat dakwaan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah kehilangan sokongan majoriti.

Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang memimpin Pakatan Harapan, belum dapat berdamai dengan Dr Mahathir Mohamad yang memimpin Pejuang dan mendapat sokongan Warisan.

Abu Hafiz turut berkata perbezaan pendapat mereka tidak boleh mengorbankan masa depan negara dan aspirasi belia.

Lihat Komen
ADS