Kes baru penularan wabak Covid-19 kembali ke tiga angka setelah sejak sekian lama berada pada empat angka. Kes Baru yang dicatatkan setakat jam 12 tengah hari iniadalah 959 kes berbanding 1,012 semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 76, 265 kes dengan kes aktif sebanyak 10,748.
Dia berkata daripada kes baru itu juga, Selangor terus mengatasi negeri-negeri lain dengan 277 kes. Ini diikuti oleh Sabah dengan 203 dan Kuala Lumpur 129.
Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Pahang (119), Johor (100), Perak (33), Negeri Sembilan (33), Pulau Pinang (29), Kelantan (17), Kedah (16), Melaka (2), dan Labuan (1).
Sementara itu, negeri-negeri lain tidak mencatatkan sebarang kes.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat empat kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini.
Kluster berkenaan adalah Kupi-Kupi melibatkan daerah Penampang di Sabah; kluster tapak bina Ikon Bintang di Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur; kluster Bandar Impian membabitkan daerah Kluang di Johor, daerah Pasir Puteh di Kelantan dan daerah Kuala Kangsar di Perak serta kluster Jalan Kemang membabitkan daerah Port Dickson di Negeri Sembilan.
“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 211 kluster termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Gala, kluster Harmoni, kluster Mahkota dan kluster Bah Kenangan.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 185 kluster.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak38 kluster melaporkan pertambahan kespada hari ini,” katanya.
Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah kluster Jalan Genting (119 kes), kluster Bintang (45 kes) dan kluster Tapak Bina Muda (39 kes).
Sementara itu, daripada keseluruhan 959 kes baru hari ini, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,068 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 65,124 atau 85.4 peratus.
“Sehingga kini, terdapat 127 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 61 kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah bahawa dua mangsa adalah dari Sabah dan Johor manakala seorang lagi dari Kuala Lumpur.
Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 393 kes atau 0.52 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

