10 pelacur warga asing ditahan di Petaling Jaya
Sepuluh wanita warga asing yang disyaki menawarkan khidmat seks ditahan polis dalam serbuan Op Noda di Petaling Jaya petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata serbuan di sebuah rumah di Bandar Damansara Perdana pada kira-kira jam 2.30 petang itu dibuat selepas polis mengesyaki premis terbabit menjalankan kegiatan pelacuran dan khidmat tukang urut.
"Semasa serbuan, polis berjaya menahan 10 wanita warga asing berumur lingkungan 25 hingga 47 tahun dalam bilik berasingan di rumah tersebut.
"Kesemua mereka yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokuman pengenalan diri yang sah dan telah tamat tempoh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ezanee berkata pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan turut menemukan 15 kepingan kondom yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.
Menurutnya kegiatan itu menyasarkan warga asing dengan khidmat urut dan seks masing-masing dikenakan bayaran antara RM80 dan RM180.
"Kesemua suspek ditahan reman 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam aktiviti persundalan.
- Bernama

