Majlis Keselamatan Negara hari ini bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk membenarkan pelancong dari Brunei memasuki Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Beliau berkata pelancong dibenarkan masuk melalui jalan darat atau udara, bagaimanapun mereka masih tertakluk kepada syarat menjalani ujian saringan Covid-19 sebagaimana ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) negeri itu.

Jurucakap rasmi Covid-19 bagi kerajaan negeri itu berkata kebenaran tersebut bukan sahaja dapat dimanfaatkan warga Brunei yang ingin melancong ke Sabah malah rakyat negeri di bawah bayu yang tinggal di Brunei untuk pulang meraikan perayaan Krismas tidak lama lagi.

"Keputusan ini adalah memandangkan Brunei tidak termasuk dalam senarai 23 negara yang disekat kemasukannya ke Malaysia. Langkah ini juga dijangka dapat merancakkan sektor ekonomi negeri Sabah," katanya pada sidang media Covid-19 kerajaan negeri di sini malam ini.

Masidi berkata kebenaran itu juga diberikan memandangkan Brunei tidak mempunyai sebarang kes baharu Covid-19 sejak 215 hari lepas dan ini menunjukkan tiada ancaman besar pandemik tersebut di negara berkenaan.

"Kita akan pertimbangkan (kebenaran kemasukan) negara lain dari semasa ke semasa, kita buka sempadan dengan penuh berhati-hati, kita tahu kesilapan akan sekali lagi membuatkan situasi Covid-19 menjadi di luar kawalan… kita akan lihat negara lain berdasarkan kes masing-masing," katanya.

Sabah hari ini mencatat 203 kes baharu Covid-19 daripada keseluruhan 959 kes seluruh negara.

- Bernama