Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu pelancong warga Malaysia ditahan di Bangkok

Polis Thailand menahan lima suspek termasuk seorang rakyat Malaysia kerana disyaki terlibat menculik seorang ahli perniagaan dari China di Bangkok.

Lelaki berusia 49 tahun itu yang merupakan seorang pemandu pelancong, dan empat lelaki rakyat Thailand ditahan di sebuah pusat peranginan dalam wilayah Suphan Buri, kira-kira 100 kilometer dari Bangkok pada Selasa.

Ketua Biro Polis Metropolitan Left Jen Pakapong Pongpetra berkata ahli perniagaan berusia 43 tahun itu diculik di Sukhumvit Soi 39 di Bangkok pada kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan) pada Sabtu.

Berdasarkan siasatan awal, dia berkata rakyat Malaysia terbabit menghubungi rakan mangsa dan menuntut 3 juta yuan (RM1.86 juta) sebagai tebusan.

“Siasatan dijalankan selepas rakan mangsa memaklumkan insiden penculikan itu kepada Subbahagian Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup polis berjaya mengesan kesemua suspek di sebuah pusat peranginan dalam wilayah Suphan Buri pada Selasa.

“Polis berjaya membebaskan ahli perniagaan itu dan memberkas kelima-lima suspek,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Pakapong berkata siasatan awal menunjukkan terdapat pertikaian perniagaan di antara mangsa dan seorang daripada suspek yang mungkin membawa kepada penculikan itu.

Katanya sekurang-kurangnya tujuh suspek terlibat dan dua daripada mereka yang dipercayai rakyat Myanmar masih bebas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS