mk-logo
Berita
Anggota tiada etika dalam agensi penguatkuasa perlu disingkir
Diterbitkan:  Dec 10, 2020 8:20 AM
Dikemaskini: 12:28 AM

Pembabitan sejumlah anggota penguat kuasa dalam pelbagai aktiviti terlarang mendorong beberapa tokoh mendesak agar pihak yang berkenaan menambah baik kaedah latihan pasukan masing-masing bagi mengatasi masalah tersebut.

Pada 4 Dis lalu lalu misalnya dua anggota polis berusia 30-an dan berpangkat lans koperal dan konstabel ditahan kerana dipercayai memaksa sepasang kekasih mengadakan hubungan seks untuk dirakam dengan telefon genggam. 

Pada Okt pula empat pegawai kanan polis adalah antara 10 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam sindiket Macau.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berulang kali memberi amaran kepada anggotanya mengenai padah yang akan dihadapi jika mereka terbabit dalam sebarang salah laku.

Ekoran penahanan itu Abdul Hamid mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyaring anggota polis sebelum ditempatkan di jabatan tertentu.

Polis juga merombak jabatan tertentu seperti yang terbabit dalam siasatan jenayah termasuk narkotik, perjudia dan pelacuran.

Bulan lalu SPRM memberkas 28 kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia untuk membantu siasatan kes pemalsuan cap di Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Seorang daripada mereka didapati memiliki pelbagai kenderaan mewah termasuk Rolls Royce dan Mustang di sebalik kedudukannya sebagai anggota bawahan agensi itu.

Malaysiakini menemu bual beberapa tokoh untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai isu pembabitan anggota penguat kuasa dalam kegiatan melanggar undang-undang.

Berikut adalah pandangan mereka:

MUSA HASSAN 
Bekas ketua polis negara

Apabila pegawai polis sendiri melakukan jenayah maka ia menunjukkan disiplin pasukan terbabit merosot dan mereka sendiri tidak menghormati undang-undang.

Ia disebabkan tidak ada pemantauan oleh penyelia dan pihak atasan serta tidak mengikut peraturan dan melanggar SOP yang ditetapkan dalam Hukuman Tetap Ketua Polis Negara (HTKPN).

Jika peraturan tetap dipatuhi tidak akan berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa.

Sebagai contoh mana-mana pegawai polis menahan untuk memeriksa suspek, dia perlu melaporkannya kepada pusat kawalan di kawasan balai polis dia bertugas agar tindakannya direkodkan dalam diari pusat kawalan.

Apabila menahan seseorang dia hendaklah dibawa ke balai polis dan memaklumkannya kepada pegawai penyiasat bertugas untuk tindakan lanjut dan laporan polis dibuat atas tangkapan tersebut.

Oleh kerana merosotnya disiplin dan kurang pengawasan maka penyelewengan boleh berlaku.

Tindakan yang perlu diambil:

a) Tindakan tegas terhadap pegawai dan anggota kerana melanggar disiplin, tidak patuh HTKPN atau menyeleweng.

b) Tindakan terhadap penyelia atau ketua kerana gagal memantau, memeriksa anggota bawahannya dan gagal mengambil tindakan apabila sesuatu pelanggaran disiplin/penyelewengan berlaku.

c) Pemantauan perlu dilakukan oleh pihak tatatertib (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard atau Jips) dengan kerjasama SPRM.

d) Latihan dalam perkhidmatan perlu selalu diadakan agar pegawai/ anggota mahir menjalankan tugas, mengetahui arahan tetap dan SOP serta tahu menguatkuasakan undang-undang.

e) Rekrut baru perlu diterapkan dengan disiplin yang tegas agar mereka mematuhi semua hukuman tetap dan SUP serta undang-undang untuk menguatkuasa undang-undang.

f) Mereka yang didapati melakukan kesalahan disiplin perlu dihantar untuk retraining (latihan semula) intensif bagi membetulkan akhlak mereka.

LEE LAM THYE
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat

Sekarang adalah masanya untuk semua agensi penguat kuasa mencari cara berkesan bagi meningkatkan integriti. Hal ini tidak boleh dikompromi.

Integriti merangkumi segala etika kerja. Semua jabatan kerajaan mempunyai jawatankuasa integriti masing-masing, namun persoalannya ialah: adakah ia berkesan?

Mengapa di sebalik adanya jabatan tersebut kita masih dapat lihat kakitangan yang kurang berintegriti? Kerajaan perlu mengkaji semula jawatankuasa integriti itu secara menyeluruh.

Tanpa integriti kita akan terus berdepan dengan masalah seperti rasuah dan salah guna kuasa.

KAMAL AFFENDI
Penganalisis jenayah

Jika orang ramai bimbang dengan pembabitan anggota penguat kuasa dalam salah laku, mereja juga sepatutnya berasa lega kerana suspek terbabit dapat ditahan.

Memang bukan dasar kerajaan mahu menutup sebarang salah laku atau salah guna kuasa dan agensi penguat kuasa juga tidak boleh menyembunyikan siasatan mereka.

Apabila seseorang mula bekerja mereka hanya tahu mengenai sistem yang ada tetapi semakin lama bekerja, kelemahan yang ada dalam sistem itu diketahui dan ia mula diambil kesempatan.

Apabila ada peluang di depan mata, sudah tentu mereka terfikir dan boleh terdorong untuk melakukan jenayah.

Kajian semula mesti dilakukan segera pada setiap peringkat bagi mengesan kelemahan yang ada.

Kita tak boleh berpuas hati begitu saja apabila ada suspek dihukum. Semasa perbicaraan kita boleh mengesan indikator titik lemah dalam sistem berkenaan.

Kemudian kita mesti menambah baik sistem yang ada dan menutup sebarang kelemahan.

SAIFUL HAMIRUZZAMAN MOHD HAZIR
Exco Persatuan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPPA)

Mulai sekarang pengambilan anggota baru agensi penguat kuasa mesti mengambil kira tahap kesihatan mental calon. Sejak sekian lama mereka hanya menumpukan perhatian kepada aspek fizikal saja.

Mental yang lemah hanya akan membawa kepada kelemahan integriti dan membuka ruang untuk amalan salah guna kuasa.

Kedua, orang awam mesti tahu hak mereka apabila didatangi anggota penguat kuasa dan apa yang sepatutnya dilakukan.

BOK SIEW MUN
Exco KLCPPPA

Polis sepatutnya melaksanakan pemasangan kamera pada badan anggota mereka yang bertugas. Calon yang memohon untuk menyertai pasukan keselamatan itu pula perlu dipemeriksa latar bekalangnya secara menyeluruh, selain penilaian berkala selepas itu.

Bagaimanapun orang awam patut tahu hanya segelintir saja anggota polis yang disiasat, bukannya seluruh pasukan berkenaan.

Secara keseluruhan polis menjalankan tugas mereka menjaga keselamatan kita dengan baik. Justeru janganlah kerana segelintir mereka terbabit dalam kesalahan semua pasukan polis dipersalahkan.

Pada masa sama, tindakan tegas perlu diambil jika mereka terbukti bersalah.

SHAHUL HAMID ABDUL RAHIM
Penganalisis jenayah

Agensi yang berkenaan perlu mengkaji semula SOP kerja masing-masing bagi memastikan ia masih relevan dan penggiliran tugas dalam kalangan kakitangan mesti dibuat selalu.

Piawaian latihan atau kursus sudah menurun. Banyak jabatan menjalankan latihan secara ala kadar. Tiada latihan yang sesuai bagi menggalakkan peserta bertugas dengan penuh integriti dan secara berpasukan.

Mengenai pengambilan kakitangan baru semua agensi kerajaan perlu mengkaji semula modul masing-masing. Mungkin ada modul yang tidak mencapai piawaian yang dikehendaki.

Lihat Komen
ADS