PARLIMEN l Sebanyak 13 daripada 64 projek jalan luar bandar (PJLB) yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi negeri Sarawak telah siap sepenuhnya.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar ll Datuk Henry Sum Agong berkata 39 projek lagi dalam peringkat pelantikan perundingan reka bentuk, tiga projek di peringkat perolehan dan sembilan dalam peringkat pembinaan.

“Kementerian juga telah meluluskan empat projek jalan perhubungan desa berjumlah RM1.57 juta di Parlimen Kota Samarahan bagi tahun 2020. Setakat Oktober lalu, dua daripadanya telah siap sepenuhnya dan dua projek sedang dalam peringkat pelaksanaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai pencapaian dan tindakan terkini kementerian untuk menambah infrastruktur kawasan luar bandar seperti bekalan air, bekalan elektrik, ameniti sosial dan jalan perhubungan khasnya di Kota Samarahan.

Henry berkata bagi program ameniti sosial, tiga projek berjumlah RM1.25 juta telah diluluskan di Parlimen Kota Samarahan bagi tahun 2020.

Beliau berkata setakat 25 Okt lepas, satu daripada projek tersebut telah siap sepenuhnya, manakala dua lagi dalam peringkat pelaksanaan.

Henry turut memaklumkan sejumlah RM285.6 juta diperuntuk bagi pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar di Sarawak pada tahun 2020, melibatkan 16 projek yang akan menyalurkan bekalan elektrik kepada 3,200 rumah.

- Bernama