Projek insinerator Broga masih menjadi tanya tanya
Nasib projek insinerator atau pusat pelupusan sampah di Broga, Semenyih masih menjadi tanda tanya - diteruskan atau dibatalkan?
Nasib projek insinerator atau pusat pelupusan sampah di Broga, Semenyih masih menjadi tanda tanya - diteruskan atau dibatalkan?
Kerajaan Negeri Selangor hari ini menegaskan buat masa ini ia tidak mempunyai rancangan untuk membatalkan projek insinerator itu.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata projek itu masih dalam peringkat penyelidikan.
Bagaimanapun semalam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengesahkan kepada malaysiakini bahawa kerajaan telah menghantar surat pembatalan tersebut dan tuntutan pampasan juga telah difailkan.
Jurucakap kementerian itu, berkata keputusan pembatalan itu dibuat kira-kira dua minggu lalu.
Kementerian berkenaan merupakan penyokong pembinaan projek insinerator tersebut yang dijadualkan mula beroperasi tahun epan.
Menurut laporan Bernama, Dr. Khir berkata setakat ini belum ada keputusan dibuat berhubung projek di Broga yang mendapat bantahan kuat penduduk sekitarnya sejak beberapa tahun lalu.
Pengurusan sampah
"Kita tidak buat apa-apa keputusan tentang Broga. Masih dalam penyelidikan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Shah Alam.
Menteri Besar mengulas laporan yang disiarkan oleh akhbar Business Times Singapura Isnin lepas, yang mendakwa projek insinerator Broga telah dibatalkan.
Dr Khir berkata tumpuan utama kerajaan Selangor sekarang ialah membina dua buah pusat pelupusan sampah iaitu di Jeram, Kuala Selangor dan Kuala Langat bagi mengatasi masalah pengurusan sampah yang kritikal di negeri itu.
Sampah dari selatan Selangor seperti dari Sepang dan Kuala Langat akan dihantar ke pusat pelupusan sampah di Kuala Langat manakala sampah dari utara seperti Klang dan Kuala Selangor ke pusat sampah di Jeram, katanya.
Katanya kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) akan dilaksanakan dengan segera di dua pusat pelupusan yang baru itu.
Beliau berkata pembinaan pusat pelupusan sampah yang baru begitu mendesak bagi membolehkan pusat pelupusan sampah di Ayer Hitam, Puchong dan Kubang Badak, Kuala Selangor dapat ditutup segera.
"Kajian EIA banyak kerja, hingga kena kerja 24 jam supaya kita dapat tutup tapak di Ayer Hitam dan Kubang Badak itu," ujarnya.

