Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang wanita berusia 20 tahun ditahan polis di Kampung Bukit Bator, Bachok, Kelantan pada 8 Dis lalu kerana disyaki menyamar sebagai inspektor polis.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata suspek ditahan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam.

Shafien berkata, pihaknya menerima aduan pada 8 Dis lalu daripada sebuah keluarga berkenaan wanita itu yang sudah seminggu tinggal bersama mereka.

"Suspek berasal dari Sabah dan mempunyai hubungan dengan anak lelaki tuan rumah tersebut dan mereka hanya berkenalan melalui laman sosial.

"Pengadu berasa curiga apabila suspek mengaku sebagai seorang inspektor dan mempunyai pakaian seragam operasi polis.

"Wanita ini datang dari Sabah dan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum ke rumah mereka di saat kenalan lelakinya itu di Kuala Lumpur menghadiri kursus dan bekerja sebagai tentera," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, hari ini.

Tambah Shafien, suspek mempunyai kes lampau melibatkan kesalahan sama di Sungai Besi, Kuala Lumpur tiga tahun lalu.

"Modus operandi suspek adalah menggunakan gelaran inspektor untuk memikat lelaki.

"Suspek kini direman bermula 8 hingga 14 Disember untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan serta Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967 berhubung memiliki peralatan polis ," katanya.

Lihat Komen
ADS