Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Warisan sedang menimbang untuk mengembangkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia, menurut ketua pemudanya Mohd Azis Jamman.

Berucap dalam acara perasmian Perhimpunan Agung sayap Pemuda (Wira), Wanita dan Wirawati Warisan di Kota Kinabalu hari ini, Azis berkata perjuangan perpaduan yang dibawa Warisan, seperti yang ditunjukkan pada PRN lalu, perlu dibawa ke peringkat nasional.

Katanya lagi, PRN Sabah pada September lalu telah membuka mata pemimpin politik dan warga di Semenanjung terhadap perjuangan Warisan.

"Ada sesuatu yang besar akan berlaku dalam masa terdekat. Warisan akan memperkembangkan sayapnya ke semenanjung.

"Cara menuju ke depan adalah perpaduan dan perpaduan inilah kita (ingin) bawa ke peringkat nasional," katanya.

Katanya lagi, perkara itu akan dibawa ke perhimpunan agung peringkat pusat untuk dipertimbangkan.

Mengulas lanjut, Azis berkata Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah cuba membuat langkah yang sama tetapi tidak berjaya.

"Tetapi kita tidak akan tahu jika tidak mencubanya," katanya lagi sambil menambah kepimpinan Warisan bukan saja telah menarik penduduk negeri itu, tetapi penyokong daripada Semenanjung.

Turut hadir dalam acara perasmian itu ialah Setiausaha Agung Loretto S Padua, Ketua Wanita Siti Aminah dan Ketua Wirawati Isnaraissah Munirah Majilis.

Perwakilan pula menyertai perhimpunan secara dalam talian ekoran wabak Covid-19.

Warisan diasaskan oleh presidennya Shafie Apdal pada April 2016 setelah dia keluar daripada Umno. Ketika itu kenggotaannya digantung kerana mempersoalkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Warisan kemudian berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas PRU14, sebelum tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah yang merangkumi PN, BN dan PBS pada PRN lalu.

Dalam pada itu, Azis yang merupakan bekas timbalan menteri dalam negeri berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanya menunggu masa untuk tumbang bagi membuka jalan kepada PRU15.

Menyifatkan Muhyiddin sebagai "tebusan Umno", dia berkata keadaan itu jelas dapat dilihat dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini di mana hampir setiap hari ini para pemimpin mereka kecemasan mengira ahli-ahli parlimen yang datang dalam sidang parlimen.

"Seperti kata presiden Amanah Mohamad Sabu (di Parlimen pada 10 Nov lalu), perdana menteri hari ini dalam keadaan 'under siege', diugut oleh Umno," katanya.

Warisan akan bangkit semula

Azis memberikan perubahan dalam pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai contoh, di mana kerajaan akur dengan gesaan Umno agar program itu diperluas kepada lebih ramai pencarum.

"Oleh kerana takut hilang kuasa kerajaan terpaksa setuju," kata ahli Parlimen Sepanggar itu lagi.

Dia juga membangkitkan undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 di mana belanjawan setiap peruntukan hanya diluluskan dengan undian tidak melebihi 121 sokongan, iaitu jumlah majoriti mudah di Dewan Rakyat.

"Insya-Allah dalam PRU tak lama lagi kita akan bangkit dan lawan mereka, kita akan kembali. Jangan kita mudah (menyerah) kalah, moralnya jatuh," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS