Tiada tekanan politik untuk vaksin Covid-19
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan tiada tekanan politik untuk penggunaan vaksin Covid-19 di Malaysia.
Katanya tidak seperti AS vaksin berkenaan akan dinilai secara bebas untuk keberkesanan serta kesesuaiannya oleh Agensi Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diluluskan untuk kegunaan awam.
"Data klinikal vaksin yang kami dapatkan akan dinilai secara bebas oleh NPRA sebelum diluluskan dan didaftarkan untuk digunakan," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan berita mengenai Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) AS yang berada di bawah tekanan kerajaan Donald Trump agar kegunaan kecemasan vaksin Pfizer-BioNTech diluluskan serta-merta.
Media juga mendakwa Ketua Pegawai Rumah Putih, Mark Meadows, berkata jawatan Pesuruhjaya FDA Stephen Hahn terancam jika vaksin tersebut tidak diluluskan.
FDA sejak itu membenarkan vaksin Covid-19 Pfizer untuk digunakan secara kecemasan, dengan inokulasi pertama dijangka dalam beberapa hari.
Hahn menafikan Meadows memberitahu dia agar berundur sekiranya vaksin tidak segera mendapat kebenaran untuk penggunaan kecemasan.
Putrajaya sebelum ini telah menandatangani dua perjanjian untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 yang mencukupi untuk 30 peratus penduduk.

