Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar desak MP Umno dikaitkan dengan Anwar berterus-terang

BN menegaskan ahli parlimen yang disebut-sebut memberikan memberi sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu tampil berterus-terang.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata mereka yang disebut dalam laporan media itu juga perlu tampil membuat laporan polis sekiranya khabar angin itu berupa fitnah.

"Batang tubuh yang tahu, kalau ia kita tahu sebagai fitnah, jangan benarkan, mesti berani buat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kalau perkara itu betul (mereka) perlu berterus-terang, jangan parti buat keputusan lain, individu buat keputusan lain," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan bloger di Kota Bharu, hari ini.

Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang menyatakan terdapat individu dalam kalangan anggota parlimen Umno memberi sokongan kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baru.

Terdahulu Astro Awani melaporkan khabar angin mengenai 10 individu termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak memberi sokongan kepada usaha Anwar itu.

Sementara itu Annuar menegaskan, keputusan parti sehingga kini tetap tidak berganjak daripada keputusan 'no Anwar, no DAP'.

"Keputusan itu masih kita pegang sehingga saat saya bercakap ini, selain daripada itu ia bukan keputusan parti.

"Sebagai ahli parti kita kena ikut dasar parti, keputusan parti adalah suara ramai. Keputusan individu itu suara kita seorang," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai dakwaan ada konspirasi pihak tertentu mengubah pendirian parti, Annuar berkata, ancaman itu sentiasa ada memandangkan perbezaan kerusi pihak pembangkang dan kerajaan yang tipis.

"Saya ingin tegaskan, pada saat rakyat sedang mengalami kesusahan, kita tidak sepatutnya berpecah sebaliknya bergabung tenaga untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Lihat Komen
ADS