Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber PH nafi Anwar peroleh 10 SD ahli parlimen Umno
Diterbitkan:  Dec 13, 2020 1:59 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Laporan yang mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim memperoleh sokongan daripada 10 ahli parlimen Umno kini dinafikan sumber dalaman Pakatan Harapan (PH).

Memetik individu yang tidak dinamakan Awani berkata dakwaan Anwar mendapat sokongan daripada tokoh kanan Umno termasuk Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi juga palsu.

"Kami menafikan laporan berita itu. Maklumat berkenaan juga adalah palsu," petik portal berita berkenaan.

Terdahulu portal berkenaan - juga memetik sumber tidak didedahkan - yang mendakwa Anwar bakal mendapatkan perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mempersembahkan perakuan bersumpah (SD) yang diperolehinya.

Laporan itu memetik 10 ahli parlimen Umno sudah memberikan sokongan.

Ia segera menarik perhatian kerana sebelum itu Setiausaha Agung BN Annuar Musa mengesahkan memang ada gerakan menarik ahli parlimen Umno agar memberikan sokongan kepada Anwar.

Untuk rekod ketika ini Muhyiddin Yassin berdepan isu keyakinan mengenai tahap sokongan sebenar yang dimilikinya sebagai perdana menteri selepas menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional dengan majoriti tipis beberapa bulan lalu.

Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil turut mengulas laporan tersebut

“Sumber mana pulak yang kamu petik ni, Awani.

"Bagaimana kamu menulis berita berdasarkan 'sumber' yang tidak disahkan, tidak dikenal pasti," ciapnya di Twitter.

Mengulas lebih lanjut ahli parlimen Lembah Pantai itu kemudian mengepilkan laporan susulan yang memetik ahli Majlis Tertinggi Umno Bung Moktar Radin menafikan sokongan kepada Anwar.

"Awani bikin berita berdasarkan satu sumber (single source) yang tidak diketahui, tanpa pengesahan/verifikasi untuk dapatkan penafian.

"Ini dinamakan taktik fishing expedition," ciapnya.

 

Lihat Komen
ADS