Pergerakan Pemuda Umno hari ini mencadangkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) diletakkan di bawah kuasa Timbalan Ketua Menteri Datuk Abdul Rashid Abdullah.

Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda Umno Datuk Reezal Marican Naina Marican berkata, langkah itu akan dapat memastikan misi nasional iaitu usaha merapatkan jurang antara orang Melayu dan bukan Melayu khususnya di bandar, tercapai.

"Ketua Menteri (Tan Sri Dr Koh Tsu Koon) mempunyai banyak tanggungjawab besar terhadap pembangunan Pulau Pinang seperti agenda perindustrian dan pelaburan dan tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu mikro.

"Oleh itu, adalah wajar jika tugas itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Menteri (TKM) yang juga wakil Umno di Kerajaan Negeri," katanya.

Semalam malaysiakini melaporkan Ketua Umno bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir menggesa supaya jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Air Pulau Pinang dikembalikan kepada tokoh Umno. Jawatan tersebut kini dipegang oleh wakil Gerakan sedangkan sebelum ini ia diperuntukkan kepada wakil Umno.

Menurut laporan Bernama, Reezal berkata tindakan itu juga selaras dengan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan Barisan Nasional.

Katanya, keresahan orang Melayu yang melihat diri mereka terpinggir di Pulau Pinang dan dibangkitkan Pemuda Umno negeri baru-baru ini sebenarnya tertumpu kepada masalah penempatan di bandar selain isu kemiskinan.

Beliau berkata keresahan orang Melayu sememangnya berasas dan diakui sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Koh.

Justeru, Reezal Marican berkata, PDC sebagai anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri yang bertanggungjawab dalam pembangunan hartanah di negeri itu, adalah jentera yang sesuai untuk menangani keresahan itu.

Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan agar Koh (foto kanan) rmengadakan rundingan dengan Umno Pulau Pinang bagi membincangkan isu orang Melayu di negeri itu.

Katanya, langkah itu perlu bagi kedua-dua pihak membincangkan pada kadar segera rancangan tambahan yang dapat diambil oleh kerajaan negeri dalam membangunkan orang Melayu di Pulau Pinang.